AirAsia X 'terbang' semula ke Korea Selatan, India | DagangNews Skip to main content

AirAsia X 'terbang' semula ke Korea Selatan, India

Pesawat Air Asia X D7 505 dari Incheon (Seoul) disambut pancuran air setibanya di klia2, semalam.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 April - AirAsia X (AAX) mengalu-alukan ketibaan penerbangan D7 505 dari Incheon (Seoul) ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), menandakan penyambungan semula perkhidmatan mingguannya ke/dari Korea Selatan selepas dihentikan selama dua tahun.

 

AAX juga menyambung semula perkhidmatannya dua kali seminggu ke/dari New Delhi, India kelmarin dengan acara penghantaran tetamu di klia2.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, hari ini menandakan satu pencapaian penting bagi AAX bukan sahaja pemulihan syarikat, tetapi untuk pembangunan semula industri pelancongan negara.

 

Beliau berkata, penyambungan semula laluan paling popular AAX secara berperingkat ini amat dinantikan para tetamu dan di seluruh rantaian nilai dalam sektor pelancongan, seterusnya merangsang pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.

 

"Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan di pasaran utama kami seperti Australia, Korea Selatan dan India kerana membuka semula sempadan mereka dan melonggarkan sekatan perjalanan. 

 

"AAX berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan industri yang berkaitan untuk membina semula industri penerbangan dan pelancongan bersama-sama. 

 

"Kami akan terus menyemak rangkaian kami dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran utama kami. Lebih banyak perkhidmatan ke destinasi lain akan diumumkan dalam masa terdekat seiring dengan pembukaan sempadan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Incheon (Seoul) bermula daripada RM873 untuk tempat duduk ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM2,199 sehala. 

 

 

airasia
Para tetamu dari Kuala Lumpur ke New Delhi pada majlis penghantaran tetamu oleh AirAsia X di klia2

 

 

airasia
Benyamin Ismail bersama salah seorang penumpang cilik dari Incheon (Seoul) di klia2

 

 

airasia
Para pelancong dari Incheon (Seoul) disambut meriah kakitangan Air Asia X di klia2.

 

 

Dari Incheon (Seoul) ke Kuala Lumpur, tambang termasuk semua bermula daripada RM1,050 dan RM2,880 sehala. Para tetamu yang menempah penerbangan ini juga dapat menikmati tambahan bagasi kabin tujuh kilogram secara percuma.

 

Tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke New Delhi bermula daripada RM565 untuk tempat duduk ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM1,830 sehala termasuk semua. Dari New Delhi ke Kuala Lumpur, tambang termasuk semua bermula daripada 9,669 rupee dan 33,1190 rupee sehala.

 

Para tetamu boleh membuat tempahan perkhidmatan ke Korea Selatan dan India dengan menekan ikon ‘Flights’ pada aplikasi airasia Super App atau melalui laman web untuk tempoh perjalanan antara sekarang sehingga 30 Jun 2022. Perkhidmatan tambahan bagi kedua-dua laluan ini akan diumumkan dalam masa terdekat. - DagangNews.com