Gadang cadang lupus tanah berharga RM65 juta di Sungai Buloh bagi mengukuhkan aliran tunai | DagangNews Skip to main content

Gadang cadang lupus tanah berharga RM65 juta di Sungai Buloh bagi mengukuhkan aliran tunai

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Gadang Holdings Bhd menerusi Gadang Construction Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) Bersama Opulent Abode Sdn Bhd bagi melupuskan tanah berharga RM65 juta di Sungai Buloh, Selangor bagi mengukuhkan aliran tunai kumpulan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pengukuhan aliran tunai itu adalah bagi kegunaan membiayai projek pembinaan yang sedang dilaksanakan dan projek pada masa akan datang.

 

"Cadangan pelupusan ini juga selaras dengan strategi kumpulan untuk mengurangkan pinjaman sedia ada bagi memperbaiki tahap penggearannya," katanya.

 

Tanah pajakan seluas 10,779 meter persegi itu terletak di PT 47369, Sungai Buloh dan dikhaskan untuk tujuan pembangunan komersial. 

 

Kumpulan itu berkata, cadangan pelupusan itu dijangka tidak mempunyai kesan ke atas modal saham terbitan, pegangan saham   dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham.

 

Bagaimanapun, pemindahan harta daripada penjual kepada pembeli adalah tertakluk kepada persetujuan negeri seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 2.5(a) pengumuman itu.

 

"Semua permohonan berhubung dengan cadangan pelupusan dijangka dikemukakan kepada pihak berkuasa dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pengumuman ini.

 

"Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, pelupusan itu dijangka siap menjelang suku pertama 2025," katanya. - DagangNews.com