AirAsia X, Thai AirAsia X bakal bayar balik tuntutan pelanggan dalam beberapa bulan akan datang | DagangNews Skip to main content

AirAsia X, Thai AirAsia X bakal bayar balik tuntutan pelanggan dalam beberapa bulan akan datang

AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu.

SEPANG 10 Jun - Semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) iaitu cabang penerbangan Capital A, hari ini menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan semua tuntutan bayaran balik akibat pandemik secepat mungkin.

 

Syarikat penerbangan di bawah AAAGL telah menyelesaikan hampir 99% pertanyaan tetamu berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8% lagi dalam masa terdekat.

 

Selain itu, syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX) juga mempunyai rancangan yang kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua tetamu yang terkesan sejak dua tahun lalu berikutan COVID-19, dalam beberapa bulan akan datang.

 

Pada masa yang sama, kumpulan syarikat penerbangan itu akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang terbaik melalui pelaksanaan pelbagai inovasi baharu serta teknologi digital terkemuka dalam industri yang akan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dalam masa terdekat.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas.

 

"AirAsia telah menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua dan majoriti daripada tetamu kami telah bersetuju untuk menerima bayaran balik menerusi akaun kredit dan kami amat berterima kasih kepada mereka.

 

"Kini, sekatan perjalanan telah mula dilonggarkan secara berperingkat di beberapa pasaran utama kami dan kami melihat ramai tetamu kami telah memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tony berkata bahawa ramai yang masih keliru antara syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group dan syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh AAX dan TAAX yang merupakan entiti berasingan.

 

Menurutnya, AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu.


 

Tan Sri Tony Fernandes
                                            Tan Sri Tony Fernandes

 


Walau bagaimanapun ujar beliau, kini mereka telah kembali beroperasi dan telah mula membuat bayaran balik kepada para tetamu yang terkesan menerusi baucar perjalanan bersamaan nilai tempahan yang dibuat.

 

“Sebuah lagi syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh kami iaitu TAAX juga turut terkesan oleh pandemik ini dan mereka sedang bekerja keras untuk menyelesaikan semua hutang yang tertunggak kepada para tetamu melalui bayaran balik dan pemberian kredit.”

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata, di bawah terma skim penstrukturan semula hutang yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini, pihaknya secara sah tidak dapat melakukan bayaran balik melalui tunai kepada para tetamu.

 

Walau bagaimanapun kata beliau, AAX berbesar hati untuk menawarkan baucar perjalanan kepada tetamu yang boleh ditebus serta-merta.

 

"Baucar perjalanan ini juga sah selama lima tahun dan boleh digunakan untuk perjalanan masa hadapan ke mana-mana destinasi jarak sederhana dan jarak jauh kami yang akan diumumkan tidak lama lagi.

 

“Sehingga kini, majoriti daripada semua tetamu yang terjejas telah menerima baucar perjalanan mereka (berjumlah lebih 155,000 tetamu) dan kami mensasarkan untuk menyelesaikan baki baucar perjalanan sebanyak 30% lagi dalam beberapa minggu akan datang,” jelas beliau. - DagangNews.com