Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Nov - Platform gaya hidup digital dan perjalanan yang berkembang paling pesat di rantau ini, airasia Super App melancarkan airasia xpress, perkhidmatan penghantaran barangan pantas, mudah dan dengan harga berpatutan kepada pengguna yang dikuasakan oleh Teleport, cabang logistik airasia.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, sebagai permulaan, airasia xpress akan meliputi Lembah Klang dan enam bandar utama lain di seluruh negara iaitu Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu.
Ujarnya, penghantaran antara bandar, antara negeri dan antarabangsa pula akan menyusul tidak lama lagi.
"Pengguna airasia Super App kini boleh memilih antara perkhidmatan penghantaran segera (di bawah satu jam) dan penghantaran pada hari yang sama (dalam masa 4-6 jam) menggunakan motosikal dan kereta.
"Di airasia, kami terus berinovasi untuk menawarkan kemudahan, nilai dan peluang untuk berjuta-juta pengguna aplikasi ini. Sebagai sebuah aplikasi penggunaan harian, airasia Super App menjadikan kehidupan para pengguna lebih mudah melalui pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan dan memastikan semua transaksi dalam talian terjamin dan selamat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, menerusi airasia xpress, perkhidmatan penghantaran dipermudahkan dengan hanya 4 langkah: Klik ikon “Xpress” pada airasia Super App, isikan butiran tempat pengambilan dan tempat penghantaran, pilih kaedah pembayaran dan sahkan tempahan anda.
Sementara itu Ketua Penghantaran (e-Commerce), airasia Super App, Lim Ben-Jie, berkata, dalam tempoh pemulihan selepas pandemik ini, pihaknya percaya ramai orang akan memerlukan perkhidmatan penghantaran yang cekap dan berpatutan, yang mana ini adalah salah satu kekuatan AirAsia.
"Menggabungkan kemudahan dan jangkauan rangkaian kami di seluruh Asean dan lain-lain, airasia xpress akan menyokong individu dan perniagaan mikro dengan perkhidmatan penghantaran yang pantas dan mudah.
"Usahawan sosial khususnya akan mendapat manfaat besar daripada tawaran kami untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya dalam pasaran e-dagang yang berkembang pesat dan dikendalikan oleh peniaga barangan baharu dan terpakai dari rumah.
"Kami juga komited untuk memberikan lebih perhatian kepada semua barangan di bawah perkhidmatan kami supaya para pelanggan akan terus menerima nilai hebat," katanya.
Sempena pelancarannya, pengguna airasia xpress boleh menikmati diskaun pengenalan istimewa selama 72 jam untuk penghantaran segera secara percuma yang dihadkan pada RM10 dari 23-25 November 2021. -DagangNews.com