Akibat sekatan pergerakan, pendapatan BDB susut 26.5% kepada RM42.1 juta | DagangNews Skip to main content

Akibat sekatan pergerakan, pendapatan BDB susut 26.5% kepada RM42.1 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Bina Darulaman Bhd. (BDB) merekodkan kerugian bersih sebanyak RM8,000 bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding untung bersih berjumlah RM628,000 bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 26.5% kepada RM42.1 juta daripada RM57.3 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Hasil yang lebih rendah pada suku dikaji itu adalah bertepatan dengan penguncupan dalam aktiviti ekonomi disebabkan sekatan pergerakan yang ketat dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19

 

Segmen hartanah melaporkan pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM12.4 juta berbanding RM20.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, ia merekodkan kerugian sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM1 juta bagi suku dikaji daripada RM2.4 juta.  

 

Sementara itu, segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari mencatatkan pendapatan lebih rendah berjumlah RM29.3 juta daripada RM36.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan kapasiti operasi yang terhad dilaksanakan kerajaan.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi segmen tersebut adalah lebih rendah pada RM800,000 pada suku berkenaan berbanding RM4.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021, juga susut 10.7% kepada RM113.91 juta berbanding RM127.61 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala kerugian bersih meningkat kepada RM5.85 juta daripada RM5.67 juta. 

 

Bagi tempoh berkenaan segmen hartanah merekodkan pendapatan lebih rendah sebanyak RM49.6 juta berbanding RM64.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan jualan yang berkurangan bagi unit siap dibina. 

 

Segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari pula mempamerkan pendapatan yang agak tinggi sebanyak RM63.4 juta berbanding RM62.5 juta tahun lalu disebabkan kemajuan pembayaran daripada projek penyelenggaraan jalan negeri, perolehan bukan air di Perlis dan projek Loji Rawatan Air Pelubang. 

 

Mengenai prospek masa depan, BDB berkata, segmen hartanah akan terus memberi tumpuan untuk membangunkan perbandaran sedia ada dan menambah nilai bank tanah. 

 

"Bagi segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari pula, kumpulan kekal fokus terhadap kemajuan projek penyelenggaraan jalan negeri, Pelubang dan sumber bukan air di Perlis.

 

"Selain itu, kumpulan juga komited untuk membangunkan premium outlet di Langkawi menerusi Langkawi Designer Premium Outlet," jelasnya. 

 

Pada September lalu, BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI), syarikat usaha sama di antara BDB dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bakal membangunkan projek tersebut dengan nilai sewaan kasar berjumlah RM817 juta. - DagangNews.com