Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) berkuat kuasa 26 Ogos 2024 - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) berkuat kuasa 26 Ogos 2024 - PM Anwar

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) akan berkuat kuasa bermula hari ini, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Jun 2024 dan disiarkan dalam Warta pada 26 Jun 2024, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, antara peraturan dalam Akta 854 yang bermula berkuat kuasa hari ini termasuk, Peraturan Keselamatan Siber (Tempoh bagi Penilaian Risiko Keselamatan Siber dan Audit) 2024; Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024; Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024 dan Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024. 

 

Katanya, Akta 854 ditubuhkan bagi meningkatkan keselamatan siber negara melalui penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

 

Selain itu, akta tersebut menubuhkan Entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) dalam membuat penilaian risiko keselamatan siber sekurang-kurangnya sekali setahun dan audit sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun.

 

Dalam ada itu, NCII mesti segera memberitahu insiden keselamatan siber melalui Sistem Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4) dan mengemukakan butiran awal dalam masa enam jam serta maklumat tambahan dalam tempoh 14 hari.

 

Akta 854 itu mewajibkan individu dan syarikat yang menyediakan perkhidmatan keselamatan siber berkaitan pusat operasi keselamatan terurus dan perkhidmatan pengujian penembusan mengambil lesen. 

 

Sementara itu, peraturan-peraturan mengenai kesalahan boleh dikompaun berdasarkan subseksyen-seksyen tertentu dalam Akta 854.- DagangNews.com