Aktiviti perdagangan global berpotensi meningkat pada 2024 disokong sektor teknologi, pemulihan China – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Aktiviti perdagangan global berpotensi meningkat pada 2024 disokong sektor teknologi, pemulihan China – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Ketegangan geopolitik yang meningkat boleh menjejaskan aktiviti perdagangan global tetapi pemulihan masih dijangka pada 2024, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan kekal pada 47.9 bagi Disember 2023 disebabkan permintaan lemah daripada pasaran domestik dan antarabangsa di tengah-tengah kelemahan keyakinan pengguna.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan PMI pembuatan bertambah baik secara beransur-ansur dalam tempoh terdekat, disebabkan oleh potensi peningkatan dalam sektor teknologi dan pemulihan beransur-ansur China.

 

Kenanga Research berkata, kedua-dua potensi pemangkin ini dijangka menyumbang kepada peningkatan prestasi eksport Malaysia pada masa hadapan.

 

“Namun begitu, kami kekal berhati-hati optimis kerana ketegangan geopolitik yang meningkat boleh mengganggu rantaian bekalan global dan berpotensi memberi kesan kepada aktiviti perdagangan global,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Berdasarkan latar belakang ini, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2023 pada 3.7% berbanding 3.3% bagi suku ketiga 2023.

 

Jelasnya, hal ini kerana pertumbuhan mungkin disokong oleh daya tahan permintaan domestik, disokong oleh perbelanjaan perayaan akhir tahun dan ketibaan pelancong yang berterusan meningkat.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK 2023 sejajar dengan unjuran kami sebanyak 3.5% hingga 4% (2022: 8.7%) dan menjangkakan ia berkembang kepada 4.9% pada 2024,” tambahnya.

 

Menurut Kenanga Research, situasi perkilangan dalam kalangan ekonomi serantau secara amnya stabil pada Disember, seperti PMI pembuatan Korea Selatan yang susut sedikit di bawah paras ‘neutral’ pada 49.9 namun operasinya stabil.

 

Sementara itu, di China, PMI pembuatan Caixin naik sedikit kepada 50.8 daripada 50.7 dan kekal di atas paras neutral apabila perniagaan mengumumkan pengeluaran lebih besar dan peningkatan pesanan baharu sebagai tindak balas kepada permintaan pasaran yang lebih besar.  - DagangNews.com