Al Rajhi Bank, Moneythor bekerjasama sediakan ciri pengurusan kewangan peribadi untuk bank digital | DagangNews Skip to main content

Al Rajhi Bank, Moneythor bekerjasama sediakan ciri pengurusan kewangan peribadi untuk bank digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) bekerjasama dengan penyedia penyelesaian perbankan digital, Moneythor untuk melaksanakan ciri pengurusan kewangan peribadi yang inovatif di dalam bank digitalnya pada masa akan datang.

 

Kerjasama itu adalah selari dengan hasrat ARBM untuk menjadi bank inovasi Islam No.1 di Malaysia.

 

ARBM akan memberi tumpuan dalam menyediakan penyelesaian perbankan Islam yang merangkumi semua kepada pelanggan dengan menggunakan Pengurusan Kewangan Peribadi Moneythor untuk menyampaikan fungsi dalam aplikasi.

 

Penyelesaian Moneythor dikuasakan oleh data masa nyata selain bantuan mesin pembelajaran dan sains tingkah laku untuk memberikan data peribadi bagi pengurusan kewangan digital.

 

Ia membolehkakan ARBM mengenali pelanggan mereka secara terperinci dan mengukuhkan kedudukannya selaku peneraju dalam perbankan Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ARBM, Assalaan Ahmed berkata, kerjasama dengan Moneythor itu akan memberikan mereka kelebihan daya saing dalam melancarkan keupayaan perbankan digital terkini yang berbeza melalui inovasi dan pengalaman pelanggan.

 

"Untuk merebut peluang di dalam sektor bank digital dan kewangan Islam, kami bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menyediakan penyelesaian terbaik dan kami berbangga untuk melibatkan Moneythor dalam usaha memperkasakan ciri pengurusan wang yang diperibadikan bagi perkhidmatan bank digital kami," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Moneythor, Olivier Berthier berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi rakan untuk bank digital baharu ARBM.

 

"Kami akan berusaha memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan dan kami teruja untuk bekerjasama dengan institusi kewangan yang membawakan kewangan Islam yang inovatif kepada pengguna di Malaysia," katanya. - DagangNews.com