Alasan sebenar mengapa Tengku Zafrul 'ponteng' hari pertama mesyuarat Kabinet | DagangNews Skip to main content

Alasan sebenar mengapa Tengku Zafrul 'ponteng' hari pertama mesyuarat Kabinet

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Persoalan mengenai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan, semalam akhirnya terjawab selepas beliau memuat naik satu hantaran di Facebook mengenai misi perdagangannya di Qatar.

 

Dalam hantaran itu, beliau memuat naik beberapa keping gambarnya dalam misi itu bersama Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Menerusi misi itu, beliau menyaksikan Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd & Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) memeterai perjanjian yang bersejarah bagi Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000km persegi di wilayah Al Dhafra. 

 

"Pemeteraian perjanjian ini menunjukkan keupayaan bersaing syarikat-syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa. 

 

"Ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-UAE dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua buah negara.

 

zafrul

 

"Harapan saya adalah untuk melihat lebih banyak syarikat Malaysia berjaya di persada antarabangsa dan membuktikan lagi kebolehan Malaysia sebagai pesaing kelas pertama dalam kalangan pemain-pemain industri dunia," katanya.

 

Antara yang hadir untuk menyaksikan detik bersejarah ini adalah Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan; Menteri Industri & Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC,  Dr. Sultan Ahmed Al Jaber dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

 

zafrul

 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra, tiga hari selepas senarai anggota Jemaah Menteri.

 

Barisan Kabinet dianggotai 28 menteri serta dua Timbalan Perdana Menteri, selain Anwar sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.

 

Mesyuarat pertama yang dihadiri Jemaah Menteri kecuali Tengku Zafrul itu bermula jam 10 pagi. - DagangNews.com