KUALA LUMPUR 10 Feb - Hotel Alila Bangsar menjalin kerjasama dengan perusahaan pemuliharaan haiwan liar, Xploregaia (Gaia) bagi membantu memulihara burung enggang spesis terbang mertua (Helmeted Hornbill) yang diancam kepupusan.
Pengurus Besar Alila Bangsar, Nancy Cheah berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen pihaknya terhadap pemuliharaan burung terancam itu, mereka berhasrat untuk menyumbang dana untuk meningkatkan kesedaran serta menyokong usaha pemuliharaan berterusan Gaia.
Katanya, hotel tersebut komited untuk memberi impak positif melalui inisiatif yang menyokong komuniti tempatan seperti meningkatkan kesedaran untuk melindungi hidupan liar di Malaysia.
"Hotel ini juga akan menampilkan barangan seni lukisan tangan burung enggang yang direka oleh artis hidupan liar terkenal Malaysia, Suzi Chua yang memberi tumpuan kepada mencipta potret haiwan yang realistik untuk meningkatkan kesedaran tentang kebajikan haiwan.
"Barang koleksi yang tidak ternilai ini akan dijual di hotel untuk kerjasama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, para tetamu Alila Bangsar boleh menikmati pameran fotografi yang menakjubkan oleh Sanjitpaal Singh, yang berlangsung sepanjang bulan Februari 2023.
Pameran tersebut dipamerkan di lobi Alila Bangsar 41, yang mana memaparkan gambar-gambar menakjubkan pelbagai spesies burung enggang di habitat semula jadi haiwan tersebut.
Kerjasama antara Alila Bangsar dan Gaia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kerja berdedikasi yang dilakukan Gaia, yang meningkatkan pengetahuan saintifik tentang burung enggang, dan melaksanakan langkah pemuliharaan yang konsisten di Malaysia. - DagangNews.com