Alipay+ lancar kempen bantu rakan niaga Malaysia manfaat pemulihan pelancongan global  | DagangNews Skip to main content

Alipay+ lancar kempen bantu rakan niaga Malaysia manfaat pemulihan pelancongan global 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Alipay+, platform digital pembayaran mudah alih rentas sempadan di bawah Ant International, melancarkan kempen hujung tahun bagi mempromosikan pelancongan rentas sempadan yang mampan. 

 

Menerusi kempen itu, rakan-rakan kongsi global Alipay+ menawarkan satu siri insentif kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet oleh TNG Digital (Malaysia), serta empat lagi e-dompet terkemuka di Asia, iaitu Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong, China), GCash (Filipina) dan TrueMoney (Thailand).

 

Kumpulan destinasi pertama kempen itu yang akan berlangsung sehingga 31 Disember ini adalah Malaysia, Hong Kong, Macau, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand. 

 

Pengurus Besar Perkhidmatan Rakan Niaga Luar Talian, Alipay+, Ant International, Dr Cherry Huang berkata, kempen hujung tahun itu bukan hanya tentang pelancongan, ia adalah tentang mencetuskan impak positif. 

 

"Menerusi kerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang berkongsi komitmen kami terhadap kemampanan, kami menawarkan para pelancong peluang untuk meneroka dunia secara bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pelancong akan menikmati pelbagai tawaran istimewa yang dihasilkan dengan kerjasama peneraju industri global, termasuk ComfortDelGro Taxi, Daimaru Matsuzakaya, Galaxy Macau, King Power, Lotte Duty Free, Marina Bay Sands, dan SHISEIDO Travel Retail, termasuk Durian BB di Malaysia dan IJOOZ di Singapura, sekali gus mewujudkan pilihan pelbagai dan inklusif untuk pelancong.

 

Menerusi kerjasama dengan PayNet, lapan rakan kongsi e-dompet Alipay+, termasuk AlipayHK dan TrueMoney, kini boleh diterima di lebih 1.8 juta rakan niaga DuitNow QR di seluruh Malaysia.

 

Seiring dengan jangkaan peningkatan mendadak pelancong China susulan pelaksanaan dasar bebas visa Malaysia untuk China pada 1 Disember 2023, Alipay+ bekerjasama dengan rakan-rakan niaga Malaysia bagi menawarkan pelbagai tawaran eksklusif kepada pengguna Alipay dari China, yang boleh digunakan untuk pelbagai perkhidmatan, termasuk pengangkutan, makanan dan minuman, dan peruncitan.

 

Sejak dilancarkan pada 2020, Alipay+, satu set rumusan pembayaran dan pemasaran rentas sempadan, telah berkembang untuk menghubungkan lebih 88 juta rakan niaga di 57 pasaran kepada 1.5 bilion akaun pembayaran, yang terdiri daripada lebih 25 dompet digital, aplikasi perbankan dan aplikasi Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL). 

 

Alipay+ mencatatkan anggaran peningkatan 30% dalam jumlah volum urus niaga (TPV) pada separuh kedua 2023 berbanding enam bulan pertama, serta lebih 70% peningkatan dalam urus niaga purata harian (DAT). 

 

Apabila mengecualikan Alipay, TPV dan DAT bagi pembayaran rentas sempadan bagi rakan-rakan kongsi e-dompet Alipay+ yang lain meningkat sebanyak kira-kira 280% dan 230% masing-masing pada separuh kedua 2023.

 

Dengan berpaksikan program alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB, Ant International komited untuk mempromosikan pelancongan mampan dan bertanggungjawab merentasi pasaran-pasaran operasi Alipay+. - DagangNews.com