Aliran tunai lemah, sukarkan pelan pengembangan MyNews - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Aliran tunai lemah, sukarkan pelan pengembangan MyNews - Kenanga Research

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - MyNews Holdings Bhd. mungkin berdepan kesukaran untuk melaksanakan pelan pengembangan cawangannya ekoran berdepan halangan pembiayaan disebabkan aliran tunai yang lemah. 

 

Penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli berkata, ini mengambil kira perkembangan yang perlahan dalam pembukaan cawangan baharu CU dan mencapai kadar pulangan modal (70%) daripada pusat pemprosesan makanan (ketika ini sekitar 35 hingga 40%), ia mungkin mengambil masa yang lama. 

 

Katanya, kumpulan menyasarkan untuk membuka 200 cawangan CU dan MyNews dalam tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

"Tetapi, kami melihat risiko dalam mencapai sasaran ini dan pengembangan cawangannya mungkin sukar.

 

"FY21 menyaksikan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM43 juta ekoran sekatan pergerakan yang tidak menentu yang menyaksikan pembukaan CU juga ditangguhkan sementara waktu. 

 

"Kerugian bersih bertambah buruk berikutan perbelanjaan susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi yang timbul daripada pelaburan dalam CU," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Namun, menurut beliau, kelonggaran sekatan pergerakan di Lembah Klang dan seluruh negara yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara mungkin memberi petanda baik kepada MyNews.

 

"Ini kerana kumpulan berusaha untuk mempercepatkan pembukaan lebih banyak kedai CU dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 50 cawangan dalam FY21 (daripada 4 setakat September 2021)," tambahnya.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kerugian bersih MyNews bagi suku keempat berakhir 31 Oktober 2021 semakin mengecil kepada RM8.89 juta berbanding RM14.92 juta suku sebelumnya, selepas sekatan pergerakan yang dilonggarkan meningkatkan jualan kedai.

 

Pendapatan pada suku berkenaan bagaimanapun meningkat 10.87% kepada RM104.08 juta daripada RM93.89 juta pada suku ketiga. 

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, kerugian pada suku keempat itu melebar berbanding RM5.77 juta pada suku keempat 2020 manakala pendapatan susut 9.67% daripada RM115.23 juta. 

 

Untuk keseluruhan tahun kewangan 2021, kerugian bersih kumpulan melebar kepada RM43.07 juta daripada RM9.84 juta tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 18.15 juta kepada RM400.59 juta daripada RM489.39 juta.

 

"LATAMI teras pada suku keempat sebanyak RM9 juta menjadikan kerugian bersih FY21 kepada RM43 juta, yang mana ini adalah di bawah anggaran kerugian kami/konsensus sebanyak RM9 juta/RM31 juta disebabkan sekatan pergerakan dilaksanakan hingga Oktober," katanya.

 

Kenanga Research bagaimanapun, menyemak semula keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi FY22 lebih tinggi kepada RM20 juta berbanding RM16 juta sebelum ini berikutan peningkatan margin (sebanyak 50 mata asas), tambahan 130 cawangan (daripada 80 sebelum ini) dan purata pertumbuhan jualan sebanyak 25%. 

 

Malah, ia turut menyemak naik penarafan saham MyNews kepada 'outperform' dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1 daripada 90 sen sebelum ini. 

 

"Bagi kami, penilaian ini wajar memandangkan cabaran pembiayaan pada masa hadapan dan mengambil kira kelemahan harga sahamnya baru-baru ini," jelasnya.

 

Setakat 11.20 pagi ini, harga sahamnya menokok 1.5 sen atau 1.74% kepada 87.5 sen dengan 443,800 saham diniagakan. - DagangNews.com