Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Jan – Kelab penyokong rasmi Liverpool FC, All Reds Malaysia turut sama menyumbang dana dan tenaga membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri terjejas iaitu Selangor dan Pahang.
Presiden ARM, Muzili Aznor Musa berkata, sebagai kelab yang memiliki anggota hampir 2,000 orang di seluruh negara, ARM mengambil inisiatif menggembeleng ahli-ahli untuk turut sama menyumbang.
Menurutnya, hasil pengumpulan dana daripada ahli-ahli ARM, lebih RM17,000 berjaya dikutip di mana wang itu diagih-agihkan kepada cawangan ARM yang terjejas banjir untuk mereka laksanakan misi masing-masing.
Beliau berkata, misi yang dilakukan oleh ARM tidak terhad kepada membantu ahli-ahli kelab, sebaliknya menyeluruh kepada mangsa banjir secara umum.
‘’Matlamat penubuhan ARM bukan sekadar menjadi penyokong tegar Liverpool FC tetapi juga menjalin aktiviti sosial sesama manusia.
‘’Aktiviti sebegini juga seiring dengan objektif aktiviti yang diterapkan oleh LFC sebagai sebuah kelab penyokong rasmi,’’ katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.
Sejak bencana banjir melanda Lembah Klang pada 19 Disember lalu, ARM telah segera melancarkan kutipan tabung bantuan dan masih berjalan berikutan bencana banjir kini melanda wilayah selatan dan pantai timur.
ARM telah mengadakan misi bantuan di Kg Labuhan Dagang, Banting pada 26 Disember; Kg Bukit Changgang & Kg Labuhan Dagang, Banting (27 Dis); Padang Jawa & Meru (31 Dis); Tadom Hill Resort dan Kuantan (1 Jan 2022) dan Kg Bukit Changgang & Tadom Hill Resort (2 Jan 2022).
Muzili berkata, seramai 21 ahli ARM dari Selangor dan Pahang telah secara aktif menyertai misi bantuan.
Menurutnya, banyak pengajaran dapat diperoleh semasa menyertai misi bantuan terutama bila membantu membersihkan ruang dalaman rumah dan melihat hampir 80% barangan binasa sambil mengenang nasib ahli keluarga yang terlibat dengan keperluan yang serba kekurangan.
''Sesi pembersihan sebenarnya memerlukan tenaga yang ramai kerana banjir bukan melanda kawasan depan rumah sahaja tetapi seluruh rumah.
‘’ARM beruntung kerana dalam misi tersebut dapat bergabung tenaga dengan sukarelawan lain membersihkan sesuatu premis,’’ ujarnya.
Muzili berkata, ARM akan terus mengadakan pasukan misi bantuan dan mengharapkan lebih ramai sukarelawan daripada kalangan ahli ARM untuk turut serta dalam kerja amal.
‘’Bak kata pepatah "hari ni hari orang lain, esok lusa siapa tau hari kita pula", jadi bersama-samalah kita menyumbang apa sahaja mengikut kemampuan kita kepada orang yang memerlukan,’’ kata beliau. – DagangNews.com