Alliance Bank lancar platform penyerahan pembiayaan mudah alih pertama Malaysia | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank lancar platform penyerahan pembiayaan mudah alih pertama Malaysia

Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan platform penyerahan pembiayaan perdagangan mudah alih pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Alliance BizSmart® eTrade.

Ketua Pegawai Perbankan Korporat dan Komersial Kumpulannya, Jeff Tham Kok Kuen berkata, penyelesaian digital terbaharu itu menyediakan kelulusan dan pembayaran pantas yang mudah tanpa perlu menggunakan kertas ke dalam akaun pelanggan.

"Melalui platform ini, pemilik perniagaan tidak perlu lagi menghantar permohonan pembiayaan perdagangan mereka secara fizikal kepada bank. 

"Mereka boleh gunakan masa yang terluang untuk mengembangkan perniagaan dan tidak perlu bersusah payah menyerahkan borang. Semua penyerahan pembiayaan perdagangan kini boleh dilaksanakan dengan pantas dengan telefon bimbit mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeff Tham Kok Kuen
Jeff Tham Kok Kuen

 

Alliance BizSmart® eTrade juga membolehkan pemilik perniagaan menyerahkan pembiayaan Penerimaan Jurubank atau Resit Amanah secara elektronik melalui aplikasi BizSmart® Mobile.

Pembiayaan perdagangan yang telah diluluskan pula akan dikreditkan ke dalam akaun pelanggan dalam masa 24 jam selepas kelulusan.

Hingga kini, 50% daripada pelanggan Alliance Bank terlibat secara aktif menggunakan platform BizSmart®.

Pihaknya juga turut meletakkan sasaran peningkatan 25% jumlah penggunaan aplikasi itu untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Pengarah LH Uni Distribution Sdn. Bhd. yang merupakan salah seorang pelanggan yang menggunakan platform tersebut, Lim Poon Chuan berkata, kini dia tidak lagi perlu menyuruh pekerjanya menyediakan dokumen penyerahan perdagangan untuk kelulusan sebelum melakukan perjalanan untuk bekerja atau bercuti.

“Dahulu saya sering menggesa pekerja saya untuk melengkapkan dokumen penyerahan perdagangan untuk ditandatangani sebelum saya memulakan perjalanan. Sekarang saya boleh memeriksa dan meluluskan transaksi pada bila-bila masa di mana-mana sahaja menggunakan telefon mudah alih dan token keselamatan yang diberikan.

Platform inovatif itu juga diiktiraf dalam majlis Anugerah Financial Insights 2020 yang memberi peluang kepada Alliance Bank untuk memenangi anugerah Bank Digital Terbaik di Malaysia. - DagangNews.com