Alliance Bank perkenal pembiayaan patuh syariah kepada PKS sehingga RM500,000 | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank perkenal pembiayaan patuh syariah kepada PKS sehingga RM500,000

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Alliance Bank Malaysia Bhd. memperkenalkan pilihan pembiayaan patuh syariah baharu melalui penyelesaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Digital untuk membantu perniagaan mikro dan kecil, terutamanya mereka yang beroperasi dalam industri halal atau mereka yang memilih pembiayaan yang dibenarkan oleh Islam.

 

Alternatif pembiayaan digital yang cepat dan mudah yang berasaskan konsep Islam murabahah komoditi (tawarruq) itu membolehkan perniagaan mikro dan kecil memperoleh pembiayaan sehingga RM500,000 dengan mudah, sepenuhnya secara digital.

 

Pembiayaan ini terbuka kepada perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dengan perolehan tahunan minimum sebanyak RM500,000.

 

Naib Presiden Kanan dan Ketua PKS Digital Alliance Bank, Kevin Shum berkata, bank kini berkembang untuk menawarkan produk patuh syariah sepenuhnya sebagai pilihan tambahan bagi pemilik perniagaan untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka di samping pinjaman PKS digital konvensional.

 

Katanya, proses permohonan digital yang pantas dan ringkas, membolehkan pemilik perniagaan memohon dan menjejak status permohonan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja

 

"Tahun ini, kami menyasarkan untuk menyediakan sehingga RM200 juta dalam pembiayaan PKS digital untuk membantu pemilik perniagaan berkembang melalui penyelesaian PKS Digital kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain bantuan kewangan, Alliance Bank menyokong pemilik perniagaan melalui rangkaian luas penyelesaian digital untuk membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan dengan lebih cekap, serta mengakses pasaran baharu.

 

Penyelesaian pembiayaan patuh syariah PKS Diital membolehkan pemilik perniagaan meningkat modal kerja mereka dengan kadar keuntungan siling pratetap untuk semua struktur pembiayaan

 

Ia menawarkan tempoh sehingga tujuh tahun dengan kadar berubah-ubah dari serendah kadar pembiayaan asas + 3.50% setahun (dengan kadar pembiayaan asas pada masa ini pada 5.92% setahun). - DagangNews.com