Alliance Bank sasar tingkatkan pinjaman PKS sebanyak dua kali ganda dalam tempoh 5 tahun | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank sasar tingkatkan pinjaman PKS sebanyak dua kali ganda dalam tempoh 5 tahun

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Alliance Bank Malaysia Berhad menyasarkan untuk tingkatkan pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak dua kali ganda untuk tempoh lima tahun akan datang.

 

Sasaran itu dibuat selepas kejayaan mereka mengembangkan pasaran pijaman PKS daripada 3.4% kepada 5.0%. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, pihaknya akan meningkatkan perniagaan perbankan penggunanya dengan memenuhi keperluan perbankan peribadi pemilik perniagaan, meningkatkan pengurusan kekayaan dan menggunakan saluran digital untuk meningkatkan pemerolehan pelanggan.

 

Pada FY22, bank memperoleh 56,000 pelanggan baharu iaitu peningkatan sebanyak 50% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Pada tahun kewangan ini, kami merancang untuk meningkatkan pemerolehan pelanggan sebanyak 40% dan menggandakan pemerolehan pemilik perniagaan yang mempunyai hubungan peribadi.

 

"Untuk segmen PKS, kami akan melengkapkan tenaga jualan PKS kami dengan inovasi digital baharu, seperti keupayaan untuk menyediakan pelanggan kami dengan kelulusan cepat dalam prinsip untuk permohonan pinjaman mereka.

 

"Kami juga menyasarkan untuk menggandakan pinjaman PKS Digital kami daripada RM60 juta kepada RM200 juta tahun ini dan mengembangkan tawaran kami untuk memasukkan pembukaan akaun perniagaan jarak jauh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pinjaman peribadi digital pada FY22 menyumbang hampir 33% daripada jumlah tempahan pinjaman peribadi dan bank menyasarkan untuk meningkatkan sumbangannya kepada lebih daripada 40% tahun ini.

 

Kornreich berkata, strategi pendigitalan bank kekal sebagai kunci untuk menyampaikan perkhidmatan pantas kepada pelanggannya.

 

"Kami akan melabur kira-kira RM50 juta setiap tahun untuk transformasi digital dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com