Alliance Bank tingkatkan sasaran perniagaan bank mampan kepada RM10 bilion bagi FY25 | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank tingkatkan sasaran perniagaan bank mampan kepada RM10 bilion bagi FY25

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - CGS-CIMB Research menjangkakan Alliance Bank Malaysia Berhad akan meningkatkan sasaran perniagaan perbankan mampan (SBB) kepada RM10 bilion untuk FY25 berbanding RM5 bilion sebelum ini. 

 

Firma itu berkata, sasaran itu adalah selaras dengan momentum kukuh dalam SBB.

 

Katanya, perkara itu merangkumi pinjaman perniagaan mampan sebanyak RM6 bilion, pelaburan perbendaharaan RM2.3 bilion, perkhidmatan pasaran modal RM800 juta dan produk amanah saham serta gadai janji amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) RM900 juta.

 

"Kami menjangkakan perkara itu dapat dicapai selepas mengambil kira perkembangan pantas SBB dalam tempoh satu hingga dua tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, kami tidak melihat ia akan membantu meningkatkan pertumbuhan keseluruhan pinjaman bank kepada kadar dua digit kerana ia diimbangi dengan pinjaman yang diberikan kepada sektor yang mempunyai risiko ESG yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ii.

 

Firma itu berkata, tiada perbezaan ketara dalam penetapan harga pinjaman antara perniagaan perbankannya yang mampan dan tidak mampan.

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapat perkembangan pantas dalam perniagaan mampannya tidak akan memberi sebarang kesan khusus ke atas margin faedah bersih (NIM) dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

 

"Bagi jangka panjang, Alliance akan meneroka pelbagai pilihan termasuk penetapan harga untuk memberi gan jaran kepada pelanggan SBB," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.45 kerana Alliance antara penerima manfaat terbesar kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). - DagangNews.com