KUALA LUMPUR 12 April - Alliance EV Sdn. Bhd. (AEV) iaitu anak syarikat milik penuh CSH Alliance Berhad (CAB) dilantik sebagai pengedar van elektrik komersial BYD Malaysia Sdn. Bhd.
Pelantikan itu dibuat selepas kedua-dua syarikat memetrai perjanjian persefahaman pada Mac 2022 untuk bekerjasama bagi mengedarkan kenderaan elektrik komersial BYD T3.
Pengarah Eksekutif CAB, Peter Yap berkata, AEV menyasarkan untuk membantu kerajaan dalam mencapai misi pelepasan sifar karbon dan membina perniagaan yang mengutamakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Kami mengharapkan respon positif daripada pemain dalam industri pengangkutan dan logistik dalam menggunakan kenderaan elektrik bagi menggantikan kenderaan konvesnional yang menggunakan bahan api yang memberi kesan terhadap alam sekitar.
"Bagaimanapun, kami sudah memiliki pelanggan yang berminat untuk membeli 100 unit van elektrik ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BYD T3 merupakan van elektrik kompak berprestasi tinggi yang dilengkapi motor elektrik berkuasa tinggi dan dilengkapi dengan transmisi auotomatik.
Ia dikuasakan oleh bateri NCM keluaran BYD yang memiliki kapasiti 50.3kWh yang membolehkan pemilik kenderaan memandu sejuah 300 kilometer dengan sekali pengecasan.
Van elektrik kompak itu juga memiliki ruang kargo seluasa 3.8 meter persegi yang boleh memuatkan bebanan sehingga 780kg dan ia memenuhi keperluan syarikat pengangkutan serta logistik untuk menjimatkan kos bahan api.
Sebagai sebahagian daripada perancangan strategik AEV, CAB juga merancang untuk membina kemudahan pemasangan tempatan (CKD) bago mengurangkan kos pembuatan dan pada masa sama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. - DagangNews.com