KUALA LUMPUR 3 Okt - Alliance Investment Bank memenangi anugerah “Urus Niaga Paling Inovatif” bagi kategori “Kewangan Mampan Terbaik” baru-baru ini semasa Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2022.
Urus niaga yang diatur pada bulan Ogos 2021 oleh Alliance Investment Bank sebagai Pengurus Utama Bersama merupakan tranche pertama Sukuk SRI Mampan ASEAN bagi Agroto Business (M) Sdn Bhd (Agroto) dengan nilai nominal sebanyak RM200 juta.
Terbitan bon mampan ini merupakan terbitan sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (“SRI”) berasaskan pertanian yang pertama di dunia.
Perniagaan pasaran modal Alliance Investment Bank telah dipindahkan ke Alliance Islamic Bank pada bulan April 2022 dan menjadikannya antara beberapa buah bank Islam tempatan dengan keupayaan sendiri untuk menyediakan penyelesaian kewangan korporat dan pasaran modal yang menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Investment Bank, Michael Ng Chow Hon berkata, Terbitan Sukuk SRI Mampan ASEAN adalah langkah inovatif ke arah pembiayaan mampan yang mana prosid tersebut akan digunakan untuk menggalakkan daya maju ekonomi dan menyokong tanggungjawab sosial.
"Kami di Alliance Bank komited untuk membantu pemilik perniagaan menerima pakai amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang praktikal bagi mencipta nilai untuk perniagaan, komuniti dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dana yang terkumpul akan digunakan untuk menyokong operasi perladangan Agroto yang moden dan bersepadu.
Matlamat Agroto adalah untuk meningkatkan akses bagi hasil tanaman tempatan yang sihat dan segar serta menyumbang ke arah pembangunan ekosistem makanan yang sihat dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim pula berkata, mereka berbesar hati dapat membantu Agroto mempercepatkan perjalanan mampan syarikat ke arah mengukuhkan sekuriti makanan di Malaysia.
"Perkongsian ini menjadi bukti kepada tumpuan kemampanan bank untuk membina perikatan bagi menyediakan peluang pembiayaan mampan dan membantu pelanggan menerima pakai amalan perniagaan mampan," katanya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang inisiatif mampan bank, sila layari www.alliancebank.com.my/sustainability. - DagangNews.com