Alliance Islamic, Asia Carbonx Change Plt lancarkan Program Pembiayaan Kemampanan Islam (ISF) kepada PKS | DagangNews Skip to main content

Alliance Islamic, Asia Carbonx Change Plt lancarkan Program Pembiayaan Kemampanan Islam (ISF) kepada PKS

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Asia Carbonx, Nirinder Singh Johl semasa majlis menandatangani MoU
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Alliance Islamic Bank Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Asia Carbonx Change Plt melancarkan Program Pembiayaan Kemampanan Islam (ISF) menawarkan rumusan pembiayaan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Program tersebut merangkumi kemudahan peralihan karbon rendah-i dan menyediakan pilihan pembiayaan komprehensif kepada perniagaan mendukung agenda kemampanan mereka. 

 

Alliance Islamic Bank berkata, program itu menyasar untuk membantu PKS mengurangkan jejak karbon mereka serta mendapatkan sijil tenaga boleh diperbaharui (RECs).

 

“Melalui kerjasama ini, Carbonx merupakan perantara bagi PKS mendapatkan REC.

 

“Dengan REC, perniagaan boleh menegaskan tenaga elektrik yang digunakan diperoleh daripada sumber boleh diperbaharui.

 

“Carbonx juga akan memudahkan proses pendaftaran REC selaras dengan peruntukan yang ditetapkan, selain menawarkan peluang kepada pelanggan untuk mengewangkan sijil tersebut,” ujar bank itu dalam kenyataan hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, berkata, kerjasama strategik itu merupakan langkah penting bagi memperkasakan PKS mengurangkan jejak karbon mereka dan mempertingkatkan daya saing dalam pasaran global.

 

“Program ini juga selaras dengan matlamat kami untuk membina organisasi yang berfokuskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG), membangunkan rumusan pembiayaan mampan serta menyampaikan nilai ekonomi yang mampan kepada komuniti,” ulas beliau.

 

Alliance Islamic Bank juga berkata, pelanggan layak menerima REC apabila memilih rumusan pembiayaan solarnya melalui rakan kongsi EPCC Bank (Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan). 

 

“Bagi mereka yang menerima pembiayaan melebihi RM500,000, mereka akan menerima REC percuma selama dua tahun. 

 

“Selain itu, kami menawarkan margin pembiayaan sehingga 100% dengan modal pendahuluan sifar dan peluang mengewangkan aset tenaga boleh diperbaharui mereka, menjadikan peralihan ke arah amalan mampan lebih menarik dari sudut kewangan.


 
“Program ISF menyediakan perlindungan takaful panel solar, menjadikan ia sebuah pakej pembiayaan hijau yang lebih holistik,” jelasnya.- DagangNews.com