Alliance Islamic Bank lancar pembiayaan mikro zakat pertama Malaysia dengan peruntukan RM225,000 | DagangNews Skip to main content

Alliance Islamic Bank lancar pembiayaan mikro zakat pertama Malaysia dengan peruntukan RM225,000

Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (kedua dari kanan), bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kanan), menyampaikan replika cek Zakat Wakalah bernilai RM225,000 kepada Pengerusi Alliance Islamic Bank, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad (kedua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rizal IL-Ehzan bin Fadil Azim (kiri).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis - Alliance Islamic Bank Berhad melancarkan pembiayaan mikro zakat (AZAM) yang merupakan prohram dana sosial Islam pertama di Malaysia menggunakan dana zakat wakalah bagi membantu usahawan mikro daripada golongan asnaf di negara ini.

 

Bank itu akan menanggung semua kos pengurusan yang berkaitan dengan program ini dan sebagai permulaan akan memperuntukkan sebanyak RM225,000 dana zakat wakalah melalui dana pusingan untuk memanfaatkan seramai 45 usahawan mikro asnaf. 

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, bank itu berkata usahawan mikro asnaf berkelayakan serta memerlukan modal kerja atau sokongan perbelanjaan modal boleh memperoleh dana pembiayaan mikro zakat sehingga RM5,000. 

 

AZAM diperkenalkan sebagai satu pendekatan zakat secara inovatif yang mana ia diagihkan secara produktif melalui pembiayaan mikro. 

 

Program ini menyasarkan usahawan mikro asnaf yang layak dan dana diagihkan menurut konsep Qard, iaitu pembayaran balik tanpa faedah atau keuntungan, yang kemudiannya akan disalurkan ke dalam tabung dana bagi mengembangkan impak program dengan menyokong usahawan asnaf lain serta memastikan kemampanan dana zakat. 

 

Sejajar dengan prinsip dan matlamat pengantaraan berasaskan nilai (VBI), AZAM berhasrat untuk mewujudkan impak sosioekonomi yang lebih berkesan serta mencapai tujuan Shariah dengan memastikan pengagihan kekayaan secara efektif dan saksama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata zakat merupakan satu instrumen ekonomi yang membantu merapatkan jurang kekayaan dalam masyarakat melalui rangkuman kewangan. 

 

"Berpandukan nasihat dan pandangan pakar, kami merintis program AZAM bagi mengagihkan zakat secara produktif kepada usahawan mikro asnaf dan pada masa yang sama, membantu mereka membangunkan sumber pendapatan yang mampan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

 

 

aim, alliance
Rizal IL-Ehzan Fadil Azim (kedua dari kiri) dan Mohamed Shamir Abdul Aziz (kedua dari kanan)menandatangani kerjasama strategik tersebut untuk mengawasi beberapa aspek program AZAM. 

 

 

Alliance Islamic Bank turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai rakan strategik pembiayaan mikro dalam satu majlis yang disaksikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). 

 

AIM sebagai institusi pembiayaan mikro terbesar di Malaysia bertanggungjawab menyelia beberapa aspek AZAM termasuk membuat saringan penerima dan menyediakan infrastruktur untuk pengeluaran dan kutipan dana manakala LZS akan mengesahkan penerima asnaf. 

 

Bagi terus membantu usahawan mikro asnaf, program AZAM dilengkapkan dengan modul peningkatan kemahiran yang merangkumi bidang pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran. 

 

“Kerjasama ini membolehkan kami membantu para usahawan mikro berpendapatan rendah untuk meningkatkan kemahiran perniagaan masing-masing menerusi sesi latihan dan ‘mentoring’,” kata Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz. - DagangNews.com