Sempurnakan kontrak mengikut garis masa, PublicInvest yakin Cloudpoint Technology catat keputusan positif pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

Sempurnakan kontrak mengikut garis masa, PublicInvest yakin Cloudpoint Technology catat keputusan positif pada 4QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - Cloudpoint Technology Bhd berkemunkinan besar mencatatkan keputusan kukuh bagi suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24) selepas berjaya menyempurnakan kontrak mengikut garis masa sebelum akhir tahun.

 

Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, ledakan pusat data Johor, menyaksikan kumpulan itu berjaya mendapatkan kontrak antara RM4 juta hingga RM10 juta daripada pusat data kala besar untuk pelbagai skop kerja seperti pemasangan tenaga, penyejukan cecair an kabel.

 

Katanya, kumpulan itu kini sedang berbincang dengan dua pengendali pusat data baharu mengenai bekalan tenaga tanpa gangguan dan rumusa platform Bantuan AI Generatif.

 

"Kumpulan itu juga menerima jemputan daripada pemain automotif untuk mengambil bahagian dalam projek pusat data.

 

"Sementara itu, keputusan tender kabel pusat data Elmina yang pertama akan diketahui pada penghujung suku pertama 2025 kerana ia perlu disiapkan menjelang September 2026.

 

"Kami percaya kumpulan itu mempunyai peluang yang baik kerana ia telah menerima maklum balas positif berkaitan penyerahan teknikalnya, dan terdapat hanya tiga peserta yang disenarai pendek dalam projek kabel ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu kini telah menjadi penyepadu sistem terbesar di Malaysia untuk perisian ServiceNow, yang merupakan pakar dalam automasi beban kerja dalaman.

 

Pada masa ini, terdapat tiga bank yang mengguna pakai perisian ServiceNow, dan kumpulan merancang mempromosikan platform AI ServiceNow kepada industri lain, iaitu minyak dan gas, telekomunikasi dan sektor utiliti.

 

"Kumpulan itu kini dalam peringkat awal perbincangan untuk memperoleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pusat panggilan pelanggan interaktif. 

 

"Perniagaan pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) akan memanfaatkan aplikasi AI, Kotak Sembang AI dan AI Perusahaan," katanya.

 

PublicInvest mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.17 sesaham. - DagangNews.com