Allianz General adakan tender terbuka untuk pengusaha bengkel sertai skim PARS | DagangNews Skip to main content

Allianz General adakan tender terbuka untuk pengusaha bengkel sertai skim PARS

KUALA LUMPUR 10 Okt – Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad sedang mencari bengkel-bengkel Skim Pembaik yang Sah PIAM (PARS) di seluruh negara melalui tender terbuka untuk menyertai panel Pembaik Sah Allianz untuk tahun 2023 dan 2024.

 

Jemputan akan dihantar kepada semua bengkel PARS di seluruh negara pada 11 Oktober 2022. Bengkel-bengkel PARS yang berminat perlu mengemukakan permohonan sebelum atau pada 17 Oktober 2022.

 

Pembaik Sah Allianz adalah sebahagian dari perkhidmatan kemalangan 24 jam Allianz Road Rangers dari Allianz General, yang telah berkhidmat untuk lebih 330,000 pelanggan sejak pelancarannya pada tahun 2017 hingga Ogos 2022.

 

Allianz General telah merombak panel bengkelnya pada tahun 2020 dan telah menerima 195 buah bengkel PARS melalui sebuah proses tender terbuka.

 

Ketua Tuntutan Allianz General, Damian Williams berkata, inisiatif ini adalah untuk mengekalkan budaya persaingan dan kompeten serta menegaskan semula komitmen kami dalam memberikan perkhidmatan tambah nilai yang terbaik kepada pelanggan.

 

 

Damian Williams
                       Damian Williams

 

 

"Oleh itu, kami sedang mencari pembaik yang diiktiraf PARS yang boleh memenuhi kriteria perkhidmatan kami dan mampu memberikan perkhidmatan Bantuan Kemalangan dan Tepi Jalan serta perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan kami.

 

“Panel pembaik memainkan peranan yang sangat penting dalam operasi harian tetapi mengharungi persekitaran pasca pandemik adalah mencabar dengan bengkel-bengkel yang mengalami kekurangan tenaga berkemahiran, kenaikan kos pekerja dan harga alat ganti. Oleh itu kami kini telah mengambil kesemua faktor ini sebagai pertimbangan dalam memproses permohonan tender,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Selain dari rombakan panel pembaik, Allianz General juga telah menambah baik SOP untuk menyokong dan memastikan panel pembaik kekal menguntungkan dan kekal berdaya saing.

 

Tambahan pula, Syarikat telah memperkenalkan bayaran pendahuluan untuk kesemua pembaikan. Lima peratus dari jumlah keseluruhan yang diluluskan akan dibayar sebaik sahaja diluluskan (termasuk kelulusan awal dan kelulusan laporan tambahan, dan sebagainya), diikuti dengan 25 peratus (termasuk kelulusan tambahan) dan apabila Pembaik mengemas kini progres pembaikan pada 50 peratus, dan baki 25 peratus dibayar pada hari yang sama sejurus dokumen yang berkaitan dihantar.

 

 

Allianz Road Rangers

 

 

“Matlamat kami untuk inisiatif tender terbuka ini adalah untuk memastikan proses pemilihan yang adil dan telus untuk bengkel PARS dan memberikan peluang yang adil buat mereka untuk berkerja dan berkembang bersama kami.

 

"Pada masa yang sama, kami mahu memberikan jaminan dan menyokong bengkel-bengkel pada masa yang sukar ini dengan mengeluarkan mereka dari kekangan kewangan dengan memperkenalkan bayaran pendahuluan, dengan harapan ia akan menjadi bantuan yang bermakna buat mereka,” kata Damian.

 

Allianz Road Rangers ialah sebuah perkhidmatan kemalangan 24-jam yang ditawarkan kepada semua pemegang polisi Allianz Motor Comprehensive untuk memastikan pengalaman pelanggan mudah dan lancar apabila membuat tuntutan kemalangan. Perkhidmatan ini menampilkan Talian Bantuan 24-Jam; armada Allianz Road Ranger (Pasukan Bermotosikal dan Trak Tunda Allianz); Perkhidmatan Bantuan Tuntutan; Baucar e-hailing; Kelulusan Tuntutan Segera; dan Penghantaran Kenderaan. – DagangNews.com