Allianz Malaysia buat bayaran RM7.7 juta bantu ahli terjejas menerusi Allianz We Care Community | DagangNews Skip to main content

Allianz Malaysia buat bayaran RM7.7 juta bantu ahli terjejas menerusi Allianz We Care Community

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Allianz Malaysia Berhad telah membuat pembayaran sebanyak RM7.7 juta menerusi inisiatif Allianz We Care Community sehingga Mac 2022 bagi membantu ahli yang terjejas akibat pandemik COVID-19 selain bayaran manfaat penjagaan kesihatan yang disediakan oleh program itu.

 

Allianz We Care Community ditubuhkan pada 2020 bagi membantu rakyat Malaysia dalam masa yang tidak tentu, semasa dan selepas pandemik COVID-19.

 

Komuniti tersebut mempunyai lebih 1.3 juta ahli termasuk pelanggan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad dan Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, serta bukan pelanggan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, syarikat berperanan menawarkan perlindungan dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan.

 

“Walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik, Allianz We Care Community akan terus memberikan sokongan aktif kepada ahli berdasarkan perkembangan situasi COVID-19.

 

“Buat masa ini, kami mempunyai lebih daripada 30 faedah penjagaan kesihatan, gaya hidup dan kesejahteraan yang tersedia untuk ahli Allianz We Care Community yang berdaftar dan manfaat baru akan diperkenalkan secara berkala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Program ini juga menyediakan manfaat kesihatan dan gaya hidup eksklusif termasuk pakej pemeriksaan kesihatan penilaian pemulihan pasca COVID-19, diskaun untuk sesi fisioterapi, pakej khas pemeriksaan kesihatan lawatan ke rumah, diskaun untuk sewa peralatan perubatan, dan akses kepada sokongan telekesihatan.

 

Selain itu, Allianz We Care Community turut menganjurkan seminar kesihatan yang merangkumi topik yang berkaitan dengan COVID-19 dan kesejahteraan mental.

 

Allianz We Care Community terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan pemastautin tetap, yang berumur 18 tahun dan ke atas. 

 

Untuk menjadi sebahagian daripada komuniti, layari https://allianz.com.my/we-care.

 

Maklumat lanjut, hubungi kami di 1-300-22-5542 atau customer.service@allianz.com.my dari Isnin hingga Jumaat antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam. - DagangNews.com