Allianz MoneyBack tawar insurans premium dengan pulangan wang | DagangNews Skip to main content

Allianz MoneyBack tawar insurans premium dengan pulangan wang

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) memperkenalkan polisi insurans hayat, Allianz MoneyBack yang menawarkan perlindungan dengan komitmen jangka masa pendek.

Allianz MoneyBack hanya memerlukan pemegang polisi membayar premium bagi tempoh enam tahun untuk menikmati perlindungan hayat selama 15 tahun dan jaminan pulangan wang setelah ia matang.

Menerusinya, pemegang polisi akan menerima Manfaat Kematangan dan pembayaran sekaligus jika tiada tuntutan dibuat semasa tempoh perlindungan itu.  

Ketua Pegawai Produk Allianz Life, Ooi Haw Yun, mengakui bahawa kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjadikan rakyat Malaysia kurang terbuka kepada komitmen kewangan jangka panjang.

 

Ooi Haw Yun
Ooi Haw Yun

 

“Membeli insurans hayat bukan sebuah kepentingan bagi semua orang. Ramai akan berkata yang mereka tidak bersedia untuk terikat dengan pembayaran premium serta lebih rela menggunakan wang tersebut untuk perkara lain berbanding polisi hayat.

“Cara pemikiran mereka ialah, mengapa perlu membayar untuk sebuah polisi jika ada kemungkinan yang mereka tidak akan membuat tuntutan daripada polisi tersebut. Jadi kami telah mendengar suara pelanggan dan menghasilkan Allianz MoneyBack dengan sebuah ciri yang membolehkan semua premium yang dibayar dipulang semula pada penghujung tempoh jika tiada tuntutan dibuat,” kata Haw Yun dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dengan premium serendah RM135 sebulan, Allianz MoneyBack menawarkan faedah Kematian dan Kematian akibat Kemalangan.

Bagi faedah Kematian akibat Kemalangan, perlindungan wang akan diberikan kepada keluarga terdekat dengan 200 peratus jumlah diinsuranskan, berlaku di antara tahun ketiga polisi dan ke atas dan juga sebelum pemegang polisi mencecah umur 71 tahun.

Dalam pada itu, Allianz MoneyBack juga menawarkan diskaun jika membuat pembelian perlindungan yang tinggi.

Lebih tinggi jumlah perlindungan, lebih banyak diskaun ditawarkan.

“Allianz MoneyBack pilihan tepat bagi individu yang berada di fasa pertengahan hidup dan mempunyai keluarga baharu yang inginkan pelan insurans bukan sahaja memberi perlindungan, malah memberi ganjaran jika mereka tidak membuat tuntutan.

“Tambahan pula, mereka lebih cenderung kepada pelan insurans yang mempunyai komitmen premium jangka pendek. Jaminan pulangan wang menawarkan peluang kepada pemegang polisi untuk memperuntukkan pembayaran penuh itu bagi perbelanjaan lain seperti pembiayaan pendidikan anak atau pelaburan,” tambah Haw Yun. – DagangNews.com