Allianz, ProppyApp meterai MoU tingkatkan kebolehcapaian insurans | DagangNews Skip to main content

Allianz, ProppyApp meterai MoU tingkatkan kebolehcapaian insurans

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan penyedia perkhidmatan e-dagang hartanah, ProppyApp Sdn Bhd untuk menawarkan kemudahan insurans kepada pengguna ProppyApp.

 

Allianz memaklumkan, melalui kerjasama itu, pelbagai rumusan insurans akan disediakan kepada pengguna ProppyApp. 

 

Katanya, beberapa produk Allianz General tersedia dalam aplikasi itu termasuk Allianz Shield Plus, Allianz Private Car Comprehensive Insurance, Allianz Motorcycle Plus, Allianz Travel Care dan Smart Home Cover.

 

"Pengguna dapat membeli pelbagai insurans melalui platform yang mesra pengguna dan dipercayai yang berasaskan ekosistem gelung terbuka. 

 

"Ini akan menggiatkan semula ekonomi kejiranan yang seterusnya akan memupuk kemampanan. ProppyApp boleh dimuat turun dari App Store, Google Play dan Huawei AppGallery," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang berkata, pihaknya gembira mengembangkan lagi jejak digital dengan dengan ProppyApp. 

 

"Kami gembira dapat mencari sinergi dalam misi bersama kami untuk menjadikan insurans lebih mudah diakses dan mudah untuk individu dan perniagaan di seluruh Malaysia.

 

 

allianz

 

 

"Di Allianz General, fokus kepada pelanggan dan pengalaman pengguna adalah aspek penting dalam perniagaan kami. Jadi, kerjasama ini memastikan pengalaman pelanggan yang memuaskan dan pelbagai rumusan untuk pelbagai pengguna," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ProppyApp, Dr Max Chen pula berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan Allianz General untuk merevolusikan landskap insurans dalam talian melalui ProppyApp, yang merupakan platform yang inklusif dan boleh diakses untuk semua. 

 

"Kerjasama ini bukan sahaja sejajar dengan komitmen kami untuk menyediakan rumusan transformasi digital tetapi juga mencerminkan dedikasi kami untuk memperkasakan individu dan perniagaan untuk berkembang maju dalam era digital dengan membuat keputusan termaklum," katanya. - DagangNews.com