Allianz, Speedoc bekerjasama tawar perlindungan dua penyakit baharu menerusi Allianz Care@Home | DagangNews Skip to main content

Allianz, Speedoc bekerjasama tawar perlindungan dua penyakit baharu menerusi Allianz Care@Home

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Allianz Care@Home memperkenalkan perlindungan untuk dua penyakit baharu, selulitis dan gastroenteritis dengan kerjasama Speedoc. 

 

Allianz Care@Home ialah perkhidmatan pemantauan perubatan dan eksklusif yang ditawarkan oleh Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life). 

 

Ini adalah tambahan kepada perlindungan untuk denggi dan COVID-19 (kategori 3, 4 dan 5) yang telah disediakan oleh Allianz Care@Home untuk pelanggan individu Penghospitalan & Pembedahan Allianz Life (H&S) sejak dilancarkan pada Oktober tahun lepas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Charles Ong berkata, Allianz Care@Home adalah sebahagian daripada misi syarikat untuk menjadi rakan kongsi kesihatan pelanggannya dalam memberikan kecemerlangan perkhidmatan di luar perlindungan untuk keyakinan yang lebih kukuh pada hari esok.

 

“Kami menyediakan akses penjagaan kesihatan yang lebih baik serta kemudahan untuk pelanggan kami yang akan membolehkan mereka mengelak kerumitan kemasukan ke hospital untuk penyakit yang layak.

 

"Selain menggalakkan pemulihan yang lebih cepat dalam keselesaan rumah mereka sendiri, mendapatkan bantuan perubatan dari rumah juga boleh mengurangkan risiko penularan penyakit bawaan udara di hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Charles, dengan jangkaan peningkatan kes denggi, Allianz Care@Home memberikan pelanggan jaminan dan ketenangan fikiran dengan mempunyai pilihan untuk menerima rawatan perubatan profesional terbaik dalam keselesaan rumah dan tidak perlu menunggu kemasukan ke hospital. 

 

 

allianz
Charles Ong

 

 

"Bukan itu sahaja, pesakit yang didiagnosis dengan selulitis dan gastroenteritis juga boleh memanfaatkan penjagaan perubatan rumah profesional Allianz Care@Home dengan mendapatkan bantuan perubatan di rumah kerana kebanyakan kes ini boleh diuruskan sebagai pesakit luar," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Speedoc, Dr Shravan Verma berkata, Allianz dan Speedoc menjadi perintis dalam membentuk landskap penjagaan kesihatan baharu yang mana pesakit boleh memilih untuk pulih dari rumah dan bukannya hospital. 

 

"Speedoc teruja untuk berada di barisan hadapan dalam memajukan penjagaan kesihatan melangkaui zaman semasa," katanya.

 

Perkhidmatan pemantauan rumah eksklusif yang disediakan Speedoc untuk empat penyakit layak, termasuk lawatan ke rumah daripada doktor dan jururawat, rawatan perubatan, terapi atau sokongan, talian bantuan 24/7, penyediaan surat rujukan/nota ringkasan kepada pusat perkhidmatan perubatan, bantuan kemasukan hospital serta pengaturan ambulans.

 

Sebagai perintis dalam perkhidmatan perubatan berasaskan rumah di pasaran, Allianz Care@Home menyediakan sokongan penjagaan kesihatan yang amat diperlukan ketika peningkatan semula kes COVID-19 di negara ini. - DagangNews.com