Allianz tambah baik perlindungan insurans perniagaan untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Allianz tambah baik perlindungan insurans perniagaan untuk PKS

PERLINDUNGAN Allianz Business Shield merupakan penambahbaikan daripada pelan insurans sebelum ini. - Gambar oleh Muhammad Faiz Zulkeflee

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) menawarkan perlindungan insurans perniagaan untuk  perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meminimumkan risiko perniagaan mereka ketika krisis menerusi Allianz Business Shield.

 

Insurans yang merupakan penambahbaikan daripada pelan Smart Retail Shield sebelum ini, menawarkan penyelesaian insurans untuk 63 kelas pekerjaan.

 

Menurut Allianz General, PKS kini dapat memilih liputan pilihan berdasarkan keperluan perniagaan mereka dan menyesuaikan jumlah yang diinsuranskan.

 

Menggunakan insurans kebakaran sebagai perlindungan asas, PKS mempunyai pilihan untuk menambah salah satu daripada 17 perlindungan yang ada, dari Manfaat Kesukaran dengan COVID-19, Kemalangan Peribadi Kumpulan untuk Kecurian, Kerosakan Mesin, Barang dalam Transit, dan banyak lagi berdasarkan keperluan perniagaan.

 

Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Horst Habbig berkata, pihaknya mahu PKS tahu bahawa mereka bersedia untuk menawarkan sokongan, dan tidak kira jika perusahaan mengalami kemalangan atau berhadapan dengan COVID-19.

 

“Allianz Business Shield membolehkan PKS menyesuaikan portfolio perlindungan mereka, memilih jenis perlindungan yang sesuai dengan keperluan perniagaan mereka dan jumlah yang diinsuranskan.

 

“Dengan cara itu, PKS dapat mengawal sepenuhnya jenis perlindungan dan jumlah yang diinsuranskan yang mereka inginkan, dan Allianz General akan menguruskan hal-hal seterusnya.

 

“Tambahan pula, dengan peningkatan kelas dan liputan pekerjaan, Allianz Business Shield memenuhi lebih banyak keperluan dan mampu menawarkan solusi insurans yang lebih disasarkan kepada PKS dalam bentuk Perlindungan Keuntungan dan Pendapatan Hospital Allianz,” jelas Habbig dalam satu kenyataan.

 

Perlindungan Keuntungan memberikan perlindungan sehingga RM2 juta untuk sebarang kerugian keuntungan atau kerosakan lebih dari 15% daripada jumlah keseluruhan yang diinsuranskan.

 

Ini juga terguna pakai sekiranya pihak tanggungan dilucutkan daripada penggunaan premis perniagaannya untuk lebih 72 jam selepas kehilangan atau kerosakan yang diinsuranskan.

 

Selain itu, manfaat Perlindungan Keuntungan juga merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan untuk satu kali perkhidmatan pembasmian kuman buat premis perniagaan yang diinsuranskan dan alat ujian untuk pekerja.

 

Sementara itu, untuk perlindungan tambahan, Pendapatan Hospital Allianz menyediakan pekerja PKS dengan pelan perubatan yang memberikan elaun harian antara RM100 hingga RM500, sehingga 60 hari setelah dimasukkan ke hospital kerana kemalangan atau penyakit.

 

Seterusnya, berkenaan dengan COVID-19, PKS dapat menjamin perniagaan mereka dengan Manfaat Kesukaran, yang membayar hingga RM2,000 sehari untuk maksimum 14 hari. - DagangNews.com