Alpro, MiCare bantu tenaga kerja korporat jimat RM8 juta untuk kos ubat menerusi Program Pengurusan Penyakit Korporat dalam 2 tahun | DagangNews Skip to main content

Alpro, MiCare bantu tenaga kerja korporat jimat RM8 juta untuk kos ubat menerusi Program Pengurusan Penyakit Korporat dalam 2 tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - Rangkaian farmasi terbesar di Malaysia, Alpro Pharmacy dengan kerjasama penyedia perkhidmatan penjagaan terurus MiCare Group berjaya mengumpul RM8 juta dalam penjimatan kos ubat daripada Program Pengurusan Penyakit Korporat (CDMP) mereka di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.

 

Kumpulan MiCare ialah pentadbir pihak ketiga dan usaha sama Zuellig Pharma Group, IFC (ahli Bank Dunia) dan Mitsui & Co.

 

Kumpulan itu membina aplikasi ketersambungan dan infrastruktur untuk pertukaran maklumat transaksi, menghubungkan pemain utama dalam sektor penjagaan kesihatan seperti doktor, pesakit, organisasi kerajaan, korporat dan penanggung insurans untuk mewujudkan pengurusan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lancar dan cekap.

 

Firma itu berkata, antara program di bawah CDMP yang disediakan oleh Alpro kepada ahli korporat MiCare ialah Perkhidmatan Farmasi Panel Korporat, yang menyediakan lapisan tambahan intervensi oleh ahli farmasi untuk menyemak preskripsi dari klinik sebelum menyalurkannya kepada pengguna korporat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MiCare, Moses Hee berkata, mengambil perspektif holistik, kerjasama itu tidak terhenti pada penyediaan ubat.

 

alpro
Low Swee Siong

 

“Kami juga secara aktif melaksanakan Program Pengurusan Penyakit Korporat yang berbeza untuk membantu syarikat meningkatkan hasil kesihatan. 

 

"Klinik panel kami juga merupakan rakan kongsi penting dalam mencapai visi kami yang dinyatakan dan dengan sokongan mereka, kami telah menyaksikan perkhidmatan optimum dalam penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alpro Pharmacy, Low Swee Siong berkata, adalah menjadi tanggungjawab ahli farmasi untuk memastikan keselamatan ubat.

 

“Dengan penglibatan ahli farmasi, ditambah dengan inovasi dan teknologi, termasuk teleperubatan dan PILcube untuk pembungkusan ubat yang diperibadikan, kami berjaya menjana penjimatan kos yang besar untuk pengguna kami,” katanya.

 

Swee Siong berkata, pendirian mereka adalah sejajar dengan MiCare untuk tidak mengamalkan sebarang "pembahagian bayaran" dengan pembekal perubatan.

 

“Dalam perkongsian strategik kami dengan MiCare, tiada caj transaksi yang tidak perlu dikenakan ke atas penyedia perubatan.

 

“Ini telah menghasilkan penjimatan kos yang besar kepada pelanggan korporat MiCare, dan sudah pasti menjadikan kerjasama kami dengan MiCare lebih bermakna,” katanya.

 

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, Alpro juga telah menyediakan Program Kesejahteraan Korporat percuma, satu lagi inisiatif Program Pengurusan Penyakit Korporat, kepada lebih 15,000 ahli korporat MiCare melalui pemeriksaan kesihatan awal, ceramah kesihatan maya dan webinar kepada lebih 100,000 pekerja untuk mengurangkan kehilangan produktiviti dalam tenaga kerja kerana faktor kesihatan. - DagangNews.com