KUALA LUMPUR 22 Jun - Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk kegunaan para pelajar fakulti berkenaan.
Sumbangan tersebut diberikan oleh Dr Ling Tung King yang merupakan alumni fakulti berkenaan (kelas tahun 1983).
Ling berkata, biarpun hasratnya itu tertunda hampir dua tahun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, namun beliau kembali ke UPM untuk sama-sama membantu fakulti yang telah banyak berbakti kepadanya sebelum ini.
Beliau kini yang menetap di Sarawak, turut menyumbang bakti kepada kampus Bintulu dalam usaha untuk menyemai semangat kembali berbakti dalam kalangan alumni.
"Sumbang bakti boleh diilhamkan dalam pelbagai cara dan bentuk. Jangan ada limitasi kepada kewangan semata-mata.
"Teruslah memberi kepada setiap perkara yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan juga universiti. Semoga dengan cara ini alumni dapat memperkukuhkan hubungan antara alumni dan universiti.
"Perkongsian ilmu dan pengalaman juga antara yang terpenting terutama dalam bidang veterinar yang mungkin ramai tidak tahu betapa luasnya bidang ini dan pelbagai kerjaya dan peluang perniagaan boleh diusahakan.
"Untuk itu, alumni yang sudah dapat membuktikan kejayaan dalam bidang ini boleh bersama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman untuk menyuntik semangat kepada para pelajar hari ini untuk terus berjaya," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, beliau menyerahkan kenderaan tersebut kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dr Nazamid Saari, yang disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila.
Pada majlis hi-tea yang berlangsung di Bilik Seminar FPV itu, kira-kira 20 alumni kelas 1983 kembali ke alma mater dengan satu tujuan dan matlamat bersama membangun dan kembali berbakti kepada universiti. - DagangNews.com