Alumni UPM sumbang RM50,000 untuk projek Rumah Kasih Alumni@BPP | DagangNews Skip to main content

Alumni UPM sumbang RM50,000 untuk projek Rumah Kasih Alumni@BPP

Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohammad Akhir Abdul Rahman menyerahkan replika cek sumbangan RM50,000 untuk projek pembinaan Rumah Kasih Alumni@BPP kepada Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Roslan Sulaiman pada program MEKAR di UPM, Serdang, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) menyumbang sebanyak RM50,000 untuk projek pembinaan Rumah Kasih Alumni@BPP bagi memberi kemudahan penginapan secara percuma kepada para pelajar UPM.

 

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof Madya Dr Arba'ie Sujud berkata, ia adalah usaha murni daripada alumni yang perlu diteruskan pada masa akan datang untuk kelangsungan universiti.

 

"Usaha yang dipelopori oleh pentadbir laman Facebook 'UPM Dulu Dulu', Shahrudin Mahadi ini telah menampakkan keberhasilan dan objektif penganjurannya telah berjaya dicapai. 

 

"Kepulangan alumni ini bukan sekadar mahu bertemu mata dengan rakan-rakan lama yang hampir 20 hingga 30 tahun tidak berjumpa.

 

"Tetapi amanah yang mereka bawa menjadikan program ini begitu bermakna, dengan membawa sumbangan besar untuk kelangsungan pelajar, ternyata para alumni UPM memainkan peranan cukup besar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, seramai 800 alumni UPM menghadiri majlis santai 'hi-tea' sempena program Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) dengan kerjasama UPM Dulu Dulu di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz UPM, baru-baru ini.

 

Penganjuran MEKAR UPM Dulu Dulu ini juga sebagai salah satu acara kemuncak kepada Sambutan Hari Alumni UPM 21 Mei yang disambut saban tahun. 

 

 

upm

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Tarikh 21 Mei yang telah diisytiharkan sebagai Hari Alumni UPM sebelum ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan program dalam usaha membawa alumni kembali ke alma mater, seterusnya menyumbang bakti kepada pembangunan, kelangsungan dan perkongsian pintar bersama universiti dan juga pelajar.

 

Dengan kekuatan alumni yang ramai berjaya dalam pelbagai bidang terutama bidang pertanian, UPM mahu mempelopori kejayaan sebagai sebuah universiti awam di Malaysia yang memaksimumkan penglibatan para alumninya dalam membawa visi dan misi menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa. - DagangNews.com