Lebihan Imbangan Akaun Semasa Malaysia suku pertama 2024 melonjak RM16.2 bilion - DOSM | DagangNews Skip to main content

Lebihan Imbangan Akaun Semasa Malaysia suku pertama 2024 melonjak RM16.2 bilion - DOSM

Peningkatan lebihan Imbangan Akaun Semasa Malaysia 1Q 2024 disokong akaun Pendapatan dan Barangan. - Gambar hiasan PTP MMC

KUALA LUMPUR 17 Mei – Lebihan Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku pertama 2024 (1Q2024) melonjak kepada RM16.2 bilion, bersamaan dengan 3.5% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan tersebut disokong oleh akaun Pendapatan dan Barangan.

 

"Sementara itu, Akaun Kewangan merekodkan aliran keluar bersih RM18.7 bilion, terutamanya dalam pelaburan portfolio dan pelaburan langsung," kata DOSM dalam laporan Statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa 1Q2024.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Akaun Pendapatan menyumbang kepada lebihan CAB yang lebih tinggi bagi suku tahun pertama 2024. 

 

Katanya, Akaun Pendapatan primer mencatatkan defisit yang lebih rendah RM8.8 bilion berbanding RM20.3 bilion pada suku sebelumnya. 

 

"Penurunan ini disumbangkan oleh terimaan yang lebih tinggi RM28.4 bilion, terutamanya didorong oleh Pelaburan lain disebabkan peningkatan dalam pendapatan pelaburan yang dijana di luar negara. 

 

"Pada masa yang sama, bayaran berkurang kepada RM37.2 bilion pada tempoh yang sama, terutamanya dari pelaburan langsung memandangkan pelabur asing di Malaysia memperoleh pendapatan yang lebih rendah," katanya dalam kenyataan media. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia capai lebihan akaun semasa RM22.8 bilion pada 2023, lebihan lebih rendah RM253.4 juta pada suku keempat - DOSM

 

 

dos

 

 

Di samping itu, katanya, akaun pendapatan sekunder merekodkan lebihan RM0.3 bilion pada suku ini daripada defisit RM2.2 bilion pada suku sebelumnya. 

 

Ujar Dr Mohd Uzir, perubahan ini didorong oleh terimaan kiriman wang pekerja dan pindahan dari luar negara yang lebih tinggi.

.

"Selain itu, lebihan CAB yang lebih tinggi juga disokong oleh peningkatan dalam eksport bersih akaun Barangan berjumlah RM32.0 bilion. 

 

"Eksport barangan mencatatkan RM272.2 billion pada suku ini berbanding RM275.9 bilion pada suku sebelumnya," jelasnya.

 

Eksport utama ialah barangan Elektrik & elektronik (E&E), produk Petroleum dan LNG, terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat (USA). 

 

uzir
Ketua Perangkawan Malaysia yang juga Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

 

Sementara itu, menurut Ketua Perangkawan, import barangan turun sebanyak 2.0% suku ke suku kepada RM240.2 bilion, terutamanya disumbangkan oleh penurunan dalam barangan Penggunaan. 

 

"China, Singapura dan Taiwan adalah sumber utama untuk import.

 

"Melihat kepada prestasi perdagangan perkhidmatan, akaun Perkhidmatan merekodkan defisit yang lebih rendah RM7.3 bilion berbanding RM7.4 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya didorong oleh defisit yang mengecil dalam Perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat serta lebihan yang lebih tinggi pada Perkhidmatan pembuatan dan Perjalanan," katanya.

 

Eksport Perkhidmatan meningkat 1.0 peratus suku ke suku untuk mencatatkan RM55.8 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan eksport dalam Perjalanan hasil daripada peningkatan perbelanjaan oleh pelancong asing di Malaysia. 

 

Eksport Perkhidmatan Telekomunikasi, komputer dan maklumat juga menunjukkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus pada asas suku tahunan terutamanya dalam Perkhidmatan komputer. 

 

Begitu juga, import Perkhidmatan meningkat 0.7 peratus kepada RM63.0 bilion pada suku tahun pertama 2024.

 

Dr. Mohd Uzir Mahidin turut menambah, “Akaun Kewangan pada suku tahun pertama 2024 mencatatkan aliran keluar bersih RM18.7 bilion berbanding RM20.1 bilion pada suku sebelumnya.

 

Katanya, ini disebabkan oleh aliran keluar dalam Pelaburan portfolio sebanyak RM23.7 bilion, berikutan langganan sekuriti ekuiti asing dan bon oleh residen, serta aliran keluar sebanyak RM6.0 bilion dalam Pelaburan langsung. 

 

dosm 2

 

Pada masa yang sama, ujarnya, Derivatif kewangan dan Pelaburan lain berubah arah kepada aliran masuk masing-masing sebanyak RM1.2 bilion dan RM9.8 bilion.

 

"Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk yang lebih rendah sebanyak RM5.5 bilion berbanding RM19.6 bilion pada suku sebelumnya disebabkan suntikan ekuiti yang lebih rendah dan perubahan arah dalam instrumen hutang. 

 

"Aliran masuk FDI terutamanya disalurkan ke Perkhidmatan khususnya aktiviti Maklumat dan kewangan, diikuti oleh sektor Perlombongan & pengkuarian. Sumber utama FDI ialah Hong Kong, USA dan Jerman," kata Ketua Pengarah DOSM itu.- DagangNews.com