Amalkan konsep tasamuh, bertolak ansur dan kebersamaan semasa Aidilfitri, kata PM | DagangNews Skip to main content

Amalkan konsep tasamuh, bertolak ansur dan kebersamaan semasa Aidilfitri, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Seri Perdana.

PUTRAJAYA 1 Mei - Keluarga Malaysia perlu berpegang kepada konsep tasamuh yang menekankan kepentingan bertolak ansur dan kebersamaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri ketika menyuarakan harapan sedemikian berkata konsep yang dititipkan dalam Islam itu selaras prinsip digariskan dalam Keluarga Malaysia.

 

Katanya, tasamuh adalah antara bentuk akhlak terpuji dan amat diperlukan ketika menjalani kehidupan seharian, justeru ia penting untuk diterapkan dalam kalangan masyarakat.

 

"Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap tasamuh (toleransi) dalam bermasyarakat.

 

"Dengan tasamuh, seseorang akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

 

"Ia boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam memastikan Keluarga Malaysia bukan sekadar 'cogan kata' semata-mata, tetapi mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat sejahtera," katanya dalam perutusan Aidilfitri, sebentar tadi.

 

''Alhamdulillah, kita bersyukur kerana negara bertuah ini masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama Keluarga Malaysia, meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius antaranya membabitkan konflik antara Rusia dan Ukraine, Palestin dan Israel misalnya,'' kata beliau.

 

Menurutnya, konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

 

''Bayangkan, tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, saudara-saudara kita di negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Afghanistan, dan Libya, menyambut Syawal dengan menyeka air mata.

 

''Inilah peri pentingnya keamanan,'' kata Perdana Menteri.

 

Menurut Ismail Sabri, ia hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga biarpun berbeza ras, budaya dan kepercayaan. - DagangNews.com