Amanah Ikhtiar rai 1,000 anak-anak Sahabat Usahawan menerusi Program 'Kembali Ke Sekolah' | DagangNews Skip to main content

Amanah Ikhtiar rai 1,000 anak-anak Sahabat Usahawan menerusi Program 'Kembali Ke Sekolah'

KUALA LUMPUR 20 Feb - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menceriakan kehidupan 1,000 anak-anak Sahabat Usahawannya yang bakal menempuh alam persekolahan baharu Mac ini, melalui program ‘Kembali Ke Sekolah’ dengan kesemua mereka menerima sumbangan berupa kelengkapan persekolahan.#

 

Program yang diadakan di Pusat Konvensyen Perda, Tasek Gelugor itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak selain turut dihadiri Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Shabudin Yahaya; Timbalan Pengerusi AIM, Mohd. Najib Mohd. Noor; Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Syed Hussian Al-Junid.

 

Mohamed Shamir berkata,  ‘Program Kembali Ke Sekolah’ itu merupakan sebahagian daripada usaha dilakukan AIM untuk meringankan beban Sahabat-Sahabat Usahawannya yang terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan pendapatan mereka.

 

"Selain itu, pemberian kelengkapan persekolahan ini juga diharap dapat menceriakan dan memberi semangat untuk anak-anak Sahabat Usahawan AIM melangkah semula ke alam persekolahan setelah lama menjalani pembelajaran di rumah sepanjang tahun lalu.
 

"Ia juga diharap dapat mengeratkan hubungan pihak pengurusan AIM dan Sahabat Usahawan yang dilihat mula bangkit untuk menjalankan aktiviti ekonomi selain kembali menjalani kehidupan yang normal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pulau Pinang merupakan antara negeri yang cemerlang dari segi pembayaran balik pinjaman seramai 5,767 Sahabat Usahawan AIM di negeri itu, dengan mencatatkan rekod 0% PAR (performance at risk).

 

Sehingga hari ini, jumlah kumulatif pembiayaan yang telah dikeluarkan untuk seluruh Pulau Pinang ialah sebanyak RM1,118,192,725.00. (RM1.1 bilion), dan bagi tahun 2022, sebanyak RM39.7 juta diperuntukkan. - DagangNews.com