AmanahRaya REIT terima tawaran IHT Rehabilitation Centre sewa hartanah Glenmarie selama 15 tahun | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya REIT terima tawaran IHT Rehabilitation Centre sewa hartanah Glenmarie selama 15 tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) menerusi Pacific Trustees Berhad menerima tawaran IHT Rehabilitation Centre (Selangor) Sdn. Bhd. bagi penyewaan jangka panjang selama 15 tahun bagi sebuah hartanah di Glenmarie, Shah Alam.

 

Hartanah seluas 74,104 kaki persegi itu akan dijadikan sebagai pusat pemulihan baharu.

 

Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix Reit Managers Sdn. Bhd. (AKRM), Tunku Rozita Tunku Abdul Malek berkata, AmanahRaya REIT sentiasa komited meningkatkan kadar penghunian portfolio aset mereka dengan memberi tumpuan kepada mengekalkan penyewa utama dan menarik penyewa baharu.

 

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati untuk memainkan peranan dalam pertumbuhan syarikat induk IHT Rehabilitation Centre, Integra Healthcare Technology Sdn. Bhd. (Integra) selain menyumbang kepada persekitaran yang kondusif yang diurus dengan baik.

 

"Sehingga kini, ini kami telah mendapat banyak pertanyaan daripada banyak syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk menyewa hartanah kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Integra ditubuhkan bagi membangunkan, memiliki dan/atau mengurus pusat pemulihan dan penjagaan kesihatan, terapi peremajaan, perkhidmatan penjagaan warga emas premium, penjagaan rehat, kesihatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang berkaitan.

 

Tunku Rozita menegaskan bahawa penambahan Integra ke dalam portfolio AmanahRaya REIT adalah yang pertama di bawah pengurusan baharu AKRM tahun ini.

 

Beliau menekankan bahawa AmanahRaya REIT berpegang teguh pada prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk membimbing pengurusan aset dan strategi pemerolehannya.

 

"Secara keseluruhan, AKRM menguruskan sejumlah 12 hartanah di seluruh negara, termasuk aset pendidikan Universiti SEGi Kota Damansara, Kolej SEGi Subang Jaya dan kampus Universiti HELP," katanya.

 

Aset lain AKRM adalah dalam sektor pejabat, perindustrian, peruncitan dan hospitaliti. - DagangNews.com