Amaran risiko penurunan ekonomi Malaysia akibat pergolakan politik - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Amaran risiko penurunan ekonomi Malaysia akibat pergolakan politik - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research memberi amaran bahawa ketidaktentuan politik bakal merencatkan prospek baik pemulihan ekonomi negara pada tahun hadapan. 

 

“Malaysia telah dilanda kemelut politik susulan peralihan pemerintahan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), disokong oleh Bersatu, UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak. 

 

“Jumlah majoriti runcing dalam Parlimen ini mencetuskan risiko penurunan buat prospek ekonomi kerana kebimbangan terhadap penggubalan dan pelaksanaan dasar diserahkan kepada gabungan dan puak politik,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Pada September lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk menumbangkan kerajaan pemerintahan PN ketika ini. 

 

Perkembangan itu akhirnya mendorong kepada percubaan gagal oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mengisytiharkan keadaan darurat.

 

Baru-baru ini, Perak pula menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri apabila melantik Menteri Besar baharu iaitu Datuk Saarani Mohamad.

 

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mendedahkan kerajaan bakal melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) selepas krisis COVID-19 diselesaikan sekali gus mengundang spekulasi bulan September 2023 bakal menyaksikan PRU baharu. 

 

Setakat ini, CGS-CIMB optimis terhadap kedudukan pemulihan Malaysia pada tahun 2021. 

 

“Kekuatan yang memperkukuh Malaysia dalam keadaan baik adalah memanfaatkan peningkatan permintaan luaran untuk komoditi dan pembuatan, kebergantungan yang lebih rendah pada eksport pelancongan dan perkhidmatan berbanding rakan serantau seperti Singapura dan Thailand, komitmen dua pihak untuk pengembangan fiskal dan ruang dasar yang cukup luas untuk meningkatkan akomodasi kewangan.

 

“Kami mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 7.5% pada 2021 (-5.0% pada 2020), iaitu melebihi ramalan,” tambah CGS-CIMB.


 

Mengulas mengenai kadar dasar semalaman (OPR), CGS-CIMB percaya kadar itu akan kekal 1.75% sehingga penghujung 2021 apabila trend jurang output dan inflasi menumpu ke arah keseimbangan.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu juga percaya Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan pada 6 November lalu akan diluluskan pada bacaan ketiga dan undian akhir pada 17 Disember ini. - DagangNews.com