Amaran SC, waspada skim pelaburan tidak berlesen | DagangNews Skip to main content

Amaran SC, waspada skim pelaburan tidak berlesen

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang menyiasat satu sindiket yang disyaki mendalangi lima skim pelaburan tidak berlesen. 

 

Ini termasuk dua skim firma klon, yang telah menipu ratusan pelabur dengan jumlah lebih RM7 juta dalam aktiviti pelaburan yang tidak berlesen.

 

"Susulan aduan dan maklumat daripada orang ramai, baru-baru ini SC telah menyerbu beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan merampas rekod dan peranti yang digunakan oleh sindiket tersebut. 

 

"SC turut merampas pelayan (server) yang digunakan sindiket itu dalam menjalankan skim penipuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut SC, siasatan sedang dijalankan atas kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 

Siasatan awal menunjukkan bahawa sindiket tersebut telah menjalankan sekurang-kurangnya lima skim pelaburan tidak berlesen sejak 2016. 

 

Berikut adalah skim pelaburan tidak berlesen yang dikenalpasti oleh SC :

 

Amal Trust (juga dikenali sebagai Wakala Ventures atau AML Global)
Nombor pendaftaran syarikat: 002848059-U
URL: https://amal-trust.com/ (disekat)
 

 

Asia Equity Ventures
Nombor pendaftaran syarikat: 002576131-V
URL: Tidak dapat diakses lagi sejak 2018

 

Perniagaan Global Ekuiti
Nombor pendaftaran syarikat: 002697965-K
URL: Tidak mempunyai laman web

 

Lindale Ventures
Nombor pendaftaran syarikat: 003041846-U
URL: http://www.lindale-ventures.com/ (disekat)

 

Waheed Ventures (juga dikenali sebagai Waheed Trading atau Wadeed Global Ventures)
Nombor pendaftaran syarikat: 003089431-V
URL: https://waheed-ventures.com/ (disekat)

 

 

SC mengingatkan orang ramai yang telah berurusan dengan skim-skim tidak berlesen ini atau dengan wakilnya diminta untuk tampil memberikan maklumat yang berkaitan kepada pihak SC dengan menghubungi 012-6113519 atau e-mel ke [email protected].

 

Kesemua lima skim tersebut telah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur SC di laman web http://www.sc.com.my/investor-alert. 

 

SC juga telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyekat laman-laman web berkaitan.

 

"SC ingin mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi degan sedikit atau tanpa risiko," katanya. 

 

Pelabur juga disarankan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen yang sah dan digesa untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman web SC. - DagangNews.com