AME Elite beli tanah seluas 37.5 hektar bernilai RM106 juta di Kulai bagi pembangunan kluster perindustrian | DagangNews Skip to main content

AME Elite beli tanah seluas 37.5 hektar bernilai RM106 juta di Kulai bagi pembangunan kluster perindustrian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - AME Elite Consortium Bhd membeli tiga bidang tanah pegangan bebas, seluas 37.5 hektar, di Kulai, Johor dengan harga RM106.17 juta bagi membangunkan kluster perindustrian.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pengambilalihan itu dilakukan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Golden Symphony Sdn Bhdyang memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Dahlia Utama Sdn Bhd.

 

Menurut AME Elite, cadangan pengambilalihan yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini, memberikan peluang pelaburan strategik untuk meningkatkan bank tanahnya.

 

"Kumpulan itu juga sedang dalam perbincangan awal dengan pemilik tanah tertentu di dalam dan luar Johor untuk meneroka potensi dan peluang pembangunan di atas tanah yang luas. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu belum mengenal pasti atau komited terhadap sebarang sasaran pemerolehan dan pembangunan.

 

"Pertimbangan pembelian untuk tanah berkenaan adalah bersamaan dengan RM65 sekaki persegi dan diperoleh atas dasar "pembeli yang sanggup dan penjual yang sanggup"," katanya.

 

Penilaian itu, mengambil kira nilai pasaran yang dianggarkan bernilai RM108 juta atau RM66.12 sekaki persegi oleh penilai bebas Knight Frank Malaysia Sdn Bhd, mewakili diskaun sebanyak 1.73% daripada nilai pasaran.

 

AME Elite berkata, 90% daripada pertimbangan pembelian akan dibiayai melalui pinjaman luar, dengan baki 10% dilindungi oleh dana dalaman. 

 

Sehingga akhir Mac 2024, jumlah tunai dan setara tunai kumpulan berjumlah RM279.74 juta, manakala jumlah pinjaman berjumlah RM174.7 juta. - DagangNews.com