Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Dis – AmInvest Research mengekalkan saranan `Beli’ ke atas saham Malaysian Pacific Industries (MPI) yang dikekalkan unjuran dan nilai adil RM59.50 sesaham.
Dalam nota kajian hari ini, firma tersebut menyatakan ia `bersemangat’ tentang MPI yang dijangka menerima manfaat besar daripada unjuran pertumbuhan kukuh dalam sektor kenderaan elektrik (EV).
Prospek positif kumpulan MPI bersandar kepada tiga faktor iaitu:
- Langkah syarikat untuk mengeluarkan produk kuasa SiC dan GaN yang boleh diguna di dalam EC, pelayan computer, tenaga boleh diperbaharui dan peranti konsumer.
- Usaha berterusan melabur di dalam pengautomasian untuk menghasilkan pengoptimisasian kos.
- Kedudukan tunai bersih yang teguh, membolehkannya melakukan pelaburan strategik dan peluang pengambilalihan dan penggabungan (M&A) dan perluasan padang hijau.
Semalam, dalam pemberitahuannya ke Bursa Malaysia, MPI memeterai perjanjian untuk melabur di sebuah tapak tanah untuk membina kilang di Suzhou Industrial Park Suxiang Corporation Zone di China.
Di bawah perjanjian ini, saiz tanah ialah 67,000 meter persegi dan terma penggunaan dijangka selama 50 tahun. Ia dianggar bernilai RMB22.40 juta (RM14.81 juta), yang mana AmInvest Research percaya akan dibiayai menerusi rizah tunai MPI yang besar.
Menurut pernyataan ke bursa juga, kilang baharu itu akan menjadi pusat pemasangan dan perkhidmatan ujian untuk komponen elektrik dan semikonduktor.
‘’Kami percaya ia disasarkan untuk perluasan produk silicon carbiderelated (SiC) seperti dibayangkan oleh pengurusan semasa taklimat penganalisis baru-baru ini.
‘’Kami juga telah memasukkan faktor pertumbuhan pelaburan produk tenaga SiC di dalam unjuran kami sebelum ini, terutama dalam segmen automotif dan perindustrian,’’ kata AmInvest Research.
Di samping cadangan pelaburan tersebut, MPI juga menyempurnakan fasa kedua perluasan tahap 2 bagi Carsem Suzhou pada Sep 2021, menambah 4,400 meter persegi pada kilang.
Jumlah keseluruhan ruang lantai bagi Carsem Suzhou kini ialah 56,ooo meter persegi, terutamanya bagi pemprosesan frekuensi radio, pakej mikro kerangka plumbum (leadframe) dan flip chips untuk pasaran konsumer.
‘’Perniagaan kumpulan MPI kekal teguh, disokong oleh trend industri dengan jualan EV global meningkat sebanyak 98% tahun atau tahun dan perbelanjaan perkhidmatan prasarana awan global tumbuh sebanyak 35% tahun atas tahun.
‘’MPI terus memasang lebih banyak mesin bagi menyokong perluasannya. Ia juga mencari lebih banyak pelanggan besar, memuktamadkan lebih banyak perniagaan masa hadapan dan melabur di dalam R&D dan Industri 4.0 bagi menghasilkan produk berkualiti lebih tinggi dan mencapai kecekapan lebih lagi,’’ kata AmInvest Research. – DagangNews.com