AmInvest unjur perkembangan jualan FY22F ViTrox lebih rendah akibat kekurangan bahan mentah | DagangNews Skip to main content

AmInvest unjur perkembangan jualan FY22F ViTrox lebih rendah akibat kekurangan bahan mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - AmInvest Bank Research mengekalkan unjuran perkembangan jualan ViTrox Corporation Berhad untuk FY22F pada kadar yang lebih rendah iaitu 21% berbanding 45% pada FY21 selepas mengambil kira masalah kekurangan bahan mentah dan tenaga pekerja.

 

Firma penyelidikan itu berkata, masalah utama ViTrox adalah kekurangan bahan mentah dan pihak pengurusan kumpulan mengakui terpaksa mendapatkan komponen pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran terbuka.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berjaya mendapatkan stok bahan mentah untuk kegunaan selama sembilan bulan berbanding tiga bulan, sebelum ini.

 

"Kekurangan tenaga kerja terus menjejaskan garis masa kumpulan itu untuk memperkenalkan produk baharu mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengandaikan 75% daripada jualan kumpulan itu bagi FY22F adalah daripada luar negara dan baki 25% akan disumbangkan daripada pasaran tempatan.

 

China akan terus menjadi penyumbang tertinggi kepada ViTrox (33% sumbangan pada FY21) dengan negara itu berjanji untuk memenuhi 70% keperluan semikonduktornya melalui rantaian bekalan domestik, meningkatkan permintaan jangka pendek untuk mesin, alat ganti dan peralatan.

 

"Bagi pasaran tempatan, landskap semikonduktor terus disokong oleh usaha perkembangan sektor itu dengan Intel dijangka melabur sejumlah AS$7 bilion (RM29.53 bilion) untuk kilang pembungkusan dan ujian cip baharu di Malaysia bagi menangani kekurangan semikonduktor global.

 

"Walaupun kilang baharu itu akan memulakan pengeluaran pada 2024, pemain ATE tempatan mendapat manfaat paling banyak melalui jualan jentera langsung atau perkhidmatan sokongan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengandaikan kadar tempahan untuk kumpulan itu berada pada paras RM160 juta akibat kekurangan bahan mentah tetapi pada masa sama mengekalkan unjuran pendapatan RM826 juta selepas mengabil kira permintaan yang rendah pada suku pertama akibat musim cuti di China.

 

"Kami mengekalakan saranan 'pegang' untuk saham ViTrox dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM8.37 berbanding RM7.45 sebelum ini," katanya. - DagangNews.com