AmInvestment anggar sistem kabel SEA-ME-WE 6 telan kos lebih AS$1 bilion, kedudukan capex TM kekal terurus | DagangNews Skip to main content

AmInvestment anggar sistem kabel SEA-ME-WE 6 telan kos lebih AS$1 bilion, kedudukan capex TM kekal terurus

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Feb - AmInvestment Bank Research menganggarkan sistem kabel dasar laut Asia Tenggara-Asia Barat-Eropah Barat 6 (SEA-ME-WE 6) yang disertai Telekom Malaysia Bhd. (TM) melalui konsortium mencecah lebih AS$1 bilion. 

 

Anggaran itu berdasarkan kabel dasar laut yang menelan kos AS$50,000 per kilometer (menyamai Asia Submarine-cable Express), menurut penganalisisnya, Alex Goh dalam nota kajian hari ini. 

 

Katanya, penglibatan TM itu merupakan sebahagian daripada program pengembangan kapasiti kumpulan sebagai penyedia sambungan digital berasaskan gentian nasional.

 

"Bagaimanapun, dengan mengambil kira penglibatan pelbagai rakan konsortium, kami percaya perbelanjaan modal (capex) TM kekal terurus.

 

"Malah, ia berada dalam nisbah anggaran kami bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY25 sebanyak 18%," katanya. 

 

 

Baca : TM terlibat dalam konsortium sistem kabel dasar laut SEA-ME-WE 6

 

Semalam, TM mengumumkan penglibatannya dalam konsortium SEA-ME-WE 6 yang menghubungkan Malaysia dengan beberapa negara iaitu Singapura, Bangladesh, India, Sri Lanka, Maldives, Pakistan, Oman, Djibouti, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.

 

Sistem kabel dasar laut baharu itu, dijangka siap pada suku pertama 2025. Dengan sepanjang 19,200 kilometer, ia akan mempunyai lebih banyak gentian sehingga lebih 2 kali ganda kapasiti berbanding kabel SEAME-WE sebelumnya.

 

Selain TM, konsortium itu dianggotai oleh pelbagai syarikat pemain global, termasuklah Bangladesh Submarine Cable Company Limited (BSCCL), Bharti Airtel Ltd. (Bharti Airtel), Dhivehi Raajjeyge Gulhun PLC (Dhiraagu), Djibouti Telecom SA (Djibouti Telecom), Etihad Etisalat Company (Mobily), Orange (France), PT Telekomunikasi Indonesia  International (Telin), Singapore Telecommunications Limited (Singtel), Sri Lanka Telecom PLC (SLT), Telecom Egypt (TE) dan Trans World Associates (TWA). 

 

Kabel dasar laut SEA-ME-WE 6 ini akan mendarat di stesen pendaratan kabel TM yang baharu di Morib, di samping 4 stesen pendaratan kabel milik TM sedia ada. 

 

Menurut Goh, meskipun terdapat kebimbangan mengenai caj kapasiti borong tetap yang kemungkinan tinggi dikenakan Digital Nasional Bhd. (DNB), tetapi peningkatan data trafik daripada penggunaan 4G dan 5G akan meningkatkan permintaan infrastruktur fiber TM di seluruh negara terutamanya perkhidmatan nilai tambah melebih akses standard mandatori harga semasa.

 

"Mengambil kira peranan penting TM dalam insiatif MyDigital beserta pemilikannya dalam rangkaian fiber di seluruh negara, kami menjangkakan pertumbuhan pantas bagi hasil borongnya menjangkaui tahun kewangan 2021 (FY21). 

 

"Pertumbuhan hasil jangka panjang TM One juga boleh dipercepatkan dengan pelantikan kumpulan itu sebagai penyedia awan tunggal Malaysia untuk data kerajaan," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan penarafan saham TM dengan saranan 'beli' pada nilai wajar RM7.10 berdasarkan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 6.2%.

 
Setakat 10.57 pagi, harga saham TM susut 1 sen atau 0.18% kepada RM5.42 dengan 251,400 saham diniagakan. - DagangNews.com