KUALA LUMPUR 17 Ogos - AmInvestment Bank Research menyemak turun nilai wajar Perak Transit Bhd. kepada RM1.06 daripada RM1.14 sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.
Semakan semula itu mencerminkan asas saham yang diperbesarkan berikutan penempatan persendirian baru-baru ini (10% daripada jumlah saham terbitan atau 63.5 juta saham) dan penarafan ESG 3 bintang yang tidak berubah.
Menurut firma itu, dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang, pertumbuhan kumpulan akan dipacu menerusi kadar sewa yang lebih tinggi daripada terminal dan sumbangan yang lebih tinggi daripada Kampar Putra Sentral apabila tamatnya tempoh sewa percuma dan kadar penghunian yang lebih tinggi.
Selain itu, katanya, ia juga disumbangkan menerusi pendapatan pertama Bidor Sentral dari separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dengan pembinaannya bermula sejak FY21.
"Perak Transit juga akan meraih manfaat daripada pengiktirafan sewa setahun penuh menerusi dua penyewa perniagaan logistiknya pada FY22 dengan jangkaan sumbangan tahunan antara RM30 hingga RM36 juta.
"Potensi peningkatan tambahan ini berpunca daripada pertumbuhan penyewa di bawah model perkongsian hasilnya.
"Pada masa sama, kumpulan juga memperoleh lebih banyak kontrak pengurusan terminal pihak ketiga," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2022 yang diumumkan semalam, Perak Transit merekodkan untung bersih sebanyak RM14.87 juta daripada RM13.46 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM42.13 juta daripada RM34.95 juta.
Pendapatan dan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi terutamanya disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada operasi terminal pengangkutan awam bersepadu (IPTT) dan stesen minyak.
Peningkatan hasil IPTT disebabkan terutamanya oleh sumbangan pendapatan sewa daripada pajakan beberapa kawasan komersial kepada penyewa logistik yang bermula pada September 2021.
Ini menyaksikan untung bersih bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 meningkat kepada RM29.11 juta daripada RM26.86 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM82.79 juta berbanding RM70.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kenanga Research berpendapat Perak Transit menawarkan pelabur peluang yang baik untuk memiliki perniagaan infrastruktur awam yang berdaya tahan.
"Kumpulan juga berpotensi untuk membawa model perniagaan berulangnya untuk pertumbuhan selanjutnya di negeri lain," katanya.
Setakat 10.26 pagi, harga sahamnya menokok 2.5 sen atau 2.94% kepada 87.5 sen dengan 3.22 juta saham diniagakan. - DagangNews.com