KUALA LUMPUR 21 Julai - AmInvestment Bank Research menjangkakan penggubal dasar dan pengeluar kenderaan akan mempercepatkan proses elektrifikasi kenderaan sebagai usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Firma itu berkata, sehingga Mac 2022, lebih 17 negara dan kerajaan sudah menetapkan sasaran untuk menghentikan penjualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2025 hingga 2040.
Katanya, pengeluar kenderaan utama juga sedang meningkatkan pelan elektrifikasi mereka bagi mematuhi polisi yang ditetapkan selain menguasai pasaran semasa.
"Pada masa hadapan kami menjangkakan lebih banyak pilihan model kenderaan elektrik (EV) dengan harga yang lebih kompetitif bagi menarik pelanggan dengan tawaran harga yang berbeza," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, sejumlah 52% pengguna menyuarakan minat mereka untuk memiliki EV, lebih tinggi berbanding 30% pada 2021.
Katanya, sehingga 2021, dijangkakan sejumlah 16.5 juta EV berada di atas jalan raya, peningkatan tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun dengan 21% atau 6.6 juta terjual pada tahun sama.
"Walaupun EV mewakili hanya 9% daripada jumlah jualan kenderaan pada 2021, namun jumlah itu dijangka berkembang pesat melebihi 50% menjelang 2030.
"Meskipun permintaan untuk EV semakin meningkat berbanding ICE namu ia tetap menjadi pemacu yang kukuh untuk permintaan semikonduktor automotif.
"Sekiranya pemanduan autonomi berjaya disempurnakan, kandungan semikonduktor untuk setiap kenderaan boleh meningkat sehingga 10 kali ganda berbanding kenderaan konvensional dengan sokongan pemandu," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor dengan tumpuan campuran jualan yang terarah ke segmen automotif memandangkan ketidakseimbangan bekalan-permintaan kritikal yang berterusan untuk cip automotif. - DagangNews.com