AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap dana dagangan bursa FBMKLCI | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap dana dagangan bursa FBMKLCI

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap dana dagangan bursa (ETF) FBMKLCI berdasarkan kepada harga wajar (FV) RM1.82 berbanding RM1.84.

 

Firma itu berkata, penurunan FV itu adalah disebabkan 37% penurunan penilaian MR D.I.Y. kepada RM2.60 daripada terbitan bonus 1 untuk 2 pada hujung bulan lalu, 9% penurunan FV Kuala Lumpur Kepong kepada RM21.55 selain penurunan 8% penilaian konsensus Press Metal Aluminium kepada RM7.03.

 

Bagaimanapun, ia diimbangi dengan peningkatan 13% FV untuk PPB Group kepada RM19.90.

 

"Sepanjang bulan lalu, sektor kewangan telah meningkat paling banyak dari segi wajaran pasaran sebanyak 1.4% mata kepada 40.5%, yang terbesar daripada semua sektor dalam ETF," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, tiga saham teratas dengan wajaran terbaik adalah sektor perbankan iaitu Public Bank dengan peningkatan 49 mata asas (bps) kepada 14.4%, Maybank 32bps kepada 13.8% dan CIMB Group 40bps kepada 7.6%.

 

Katanya, sektor kedua ialah minyak dan gas termasuk MISC walaupun mencatatkak penurunan 28bps kepada 12.6%.

 

"Ketika ini kami kekalkan saranan 'overweight' terhadap bank, minyak dan gas dan sektor automotif.

 

"Ia merangkumi MR D.I.Y. dan Sime Darby, saranan 'overweight' dan 'beli' membawa gabungan wajaran sebanyak 63% untuk ETF buat masa sekarang," katanya.

 

Dalam beberapa bulan akan datang, firma itu menjangkakan FBMKLCI akan menjadi tidak stabil antara 1,400 hingga 1,600 kerana kecairan domestik selain tekanan stagflasi yang diburukkan lagi oleh kenaikan kadar AS yang terlalu agresif selain kenaikan harga minyak mentah melebihi AS$100 (RM446) selain gangguan rantaian bekalan yang berterusan. - DagangNews.com