AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Kim Loong, FV RM2.20 sesaham | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Kim Loong, FV RM2.20 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Kim Loong Resources Berhad dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM2.20 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan keluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan itu berkembang sebanyak 15% pada FY24 berikutan hasil yang lebih tinggi dengan andaian purata hasil BTS sebanyak 22 tan setiap hektar pada FY24 berbanding 20.8 tan pada FY23.

 

Katanya, kumpulan itu sedang menikmati impak positif daripada amalan pengurusan ladang yang lebih baik di ladang kelapa sawit Segaliud Lokan seluas 1,100 hektar di Sabah yang diambil alih pada 2022.

 

"Difahamkan bahawa kumpulan itu tidak berdepan sebarang masalah cuaca di Johor, Sarawak dan Sabah manakala El Nino sederhana manakala hujan tidak terlalu lebat.

 

"Kumpulan itu sedang bersiap sedia menghadapi kemarau dengan memastikan kesediaan takungan dan parit selain tindanan pelepah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, didorong pengeluaran BTS yang lebih kukuh dan kos baja yang lebih rendah, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kumpulan itu dijangka menurun kepada RM1,900 bagi setiap tan pada FY24 berbanding RM2,150 untuk satu tan.

 

Sementara itu, loji biogas Keningau 2MW telah mula beroperasi manakala loji biogas Telupid 1.5MW akan bermula pada suku pertama tahun hadapan.

 

Setelah siap, Kim Loong akan mempunyai tiga  loji biogas, yang dijangka menjana keuntungan bersih tahunan berjumlah RM7 juta hingga RM9 juta. Ini adalah kira-kira 6% hingga 7% daripada keuntungan bersih FY25.

 

"Perbelanjaan modal kumpulan itu dianggarkan sebanyak RM50 juta pada FY24 terutamanya berkaitan penanaman semula pokok kelapa sawit yang sudah tua dan menaik taraf kilang Telupid. 

 

"Kim Loong dijangka menanam semula kira-kira 1,000 hektar pokok pada FY24," katanya. - DagangNews.com