AmInvestment kekal saranan 'beli' untuk Bintulu Port, FV RM6.05 didorong eksport LNG berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' untuk Bintulu Port, FV RM6.05 didorong eksport LNG berdaya tahan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Bintulu Port Holdings Berhad dengan harga wajar (FV) RM6.05 sesaham. 

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana eksport gas asli cecair (LNG) yang berdaya tahan disokong oleh kontrak jangka panjang dengan pengeluaran kontena Petronas dan Westport.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana potensi pertumbuhan kukuh Pelabuhan Perindustrian Samalaju dan pendapatan serta hasil dividen yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sebahagian besar pertumbuhan pengeluaran Pelabuhan Perindustrian Samalaju adalah daripada kilang Wenan Steel dan pembukaan tanah untuk loji itu sudah 75% siap selain kilang itu sedang dalam proses rundingan Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Sarawak Energy.

 

Katanya, loji itu dijadualkan untuk ditauliahkan sepenuhnya pada FY25.

 

"Kami juga mendapati jeti metanol akan didirikan di Pelabuhan Bintulu bagi memudahkan eksport metanol yang dikeluarkan oleh Loji Metanol Petronas Chemical Bintulu Sarawak yang akan beroperasi pada 1QFY24, dengan kapasiti pengeluaran 1.75 juta tan setahun (TPA)," katanya.

 

Firma itu berkata, loji Malaysia Phosphate Additives Sarawak (MPAS) sedang memulakan relau keduanya dan mereka akan memiliki empat relau untuk menghasilkan Fosfat Kuning dengan kapasiti pengeluaran 48,000 TPA.

 

Katanya, relau itu akan ditauliahkan sepenuhnya pada Disember 2022 dan penghasilan produk komersial dijadualkan pada 1QFY23.

 

"OM Materials (Sarawak) sedang menukar empat relau ferosilikon kepada dua relau aloi mangan dan dua relau silikon logam.

 

"Relau aloi mangan telah ditauliahkan pada 3QFY22 dan relau silikon logam dijangka beroperasi pada Disember 2022," katanya. - DagangNews.com