AmInvestment kekal saranan 'pegang' terhadap Chin Teck Plantations, FV sebanyak RM8.36 sesaham | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'pegang' terhadap Chin Teck Plantations, FV sebanyak RM8.36 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - AmInvestment Bank Bhd mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Chin Teck Plantations Bhd dengan harga wajar (FV) tidak berubah sebanyak RM8.36 sesaham. 

 

Katanya, perkembangan ketara dalam landskap kewangan kumpulan itu ialah penyempurnaan pemerolehan Fauzi-Lim Plantation pada harga RM45 juta bagaimanapun nilai perusahaan sehektar (EV/ha) mereka menyusut kepada RM13,704 berbanding RM15,593 sebelum pengambilalihan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia meletakkan kumpulan tu lebih baik berbanding penanda aras industri, dengan Hap Seng Plantation dan TSH Resources melaporkan angka EV/ha masing-masing RM26,049 dan RM36,121.

 

"Penganalisis menekankan bahawa walaupun pengambilalihan strategik, sentimen pasaran terhadap kumpulan mungkin terjejas oleh penurunan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) baru-baru ini.

 

"Faktor ini mengurangkan potensi pendapatan segera daripada pemerolehan seperti Fauzi-Lim Plantation," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengambilalihan Fauzi-Lim Plantation dijangka tidak memberi hasil signifikan kepada Chin Teck Plantations

 

AmInvestment mengekalkan penarafan tiga bintang bagi amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi mencerminkan pematuhannya kepada piawaian industri dalam domain ini.

 

Katanya, keuntungan kumpulan itu bertambah baik selepas terjejas oleh perbelanjaan pentadbiran yang berkaitan dengan pemerolehan pada FY23.

 

"Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat semula sebanyak 49.3% kepada RM42.1 juta pada 1HFY24. 

 

"Bagi FY24, kami mengandaikan pertumbuhan keluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 7.5%," katanya.- DagangNews.com