KUALA LUMPUR 20 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 615,000 unit pada 2023.
Firma itu berkata, unjuran itu dibuat selepas prestasi cemerlang sebelum ini dirangsang oleh ketiadaan cukai jalan dan perkhidmatan (SST) yang kemudiannya tamat pada 30 Jun 2022.
"Selepas mengambil kira tempoh pengecualian cukai tamat, kami menjangkakan keadaan kembali normal pada 2023.
"Bagaimanapun kami tidak melihat sebarang penurunan ketara dalam TIV yang kami yakin ia akan ditampung dengan kadar tempahan yang stabil serta pelancaran model baharu secara berterusan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Industri automotif Malaysia mencipta sejarah baharu dalam jualan apabila merekodkan TIV sebanyak 720,658 unit tahun lalu, meskipun berdepan pelbagai cabaran luaran dan domestik.
Pencapaian bersejarah dan luar biasa mengatasi sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 630,000 unit yang ditetapkan Julai 2022, selain menunjukkan aliran TIV meningkat selepas dua tahun mencatatkan penurunan.
TIV 2022 melepasi paras 700,000 unit buat kali pertama dalam sejarah walaupun dibayangi pelbagai cabaran seperti peralihan ke fasa endemik, dasar sifar COVID-19 China, pergolakan geopolitik Russia-Ukraine, perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China serta isu rantaian bekalan.
Di peringkat domestik pula, pasaran berdepan cabaran isu bekalan cip komputer dan ketidaktentuan politik yang berakhir selepas Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).
Pencapaian TIV tahun lalu mengatasi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pasaran automotif iaitu 666,674 unit yang direkodkan pada 2015.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu dan memilih BAUTO (harga wajar RM2.51), MBMR (harga wajar RM5.10) and UMWH (harga wajar RM4.89). - DagangNews.com