AmInvestment mulakan liputan ke atas Cocoaland dengan saranan 'beli' FV RM1.37 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan ke atas Cocoaland dengan saranan 'beli' FV RM1.37

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - AmInvestment Bank Berhad memulakan liputan terhadap Cocoaland Holdings Berhad dengan saranan 'beli' dengan nilai wajar (FV) RM1.37.

 

Firma itu melihat, Cocoaland adalah pilihan terbaik dengan mencatatkan keuntungan sepanjang 16 tahun selepas disenaraikan pada 2005 dan permintaan terhadap produk mereka berjaya bertahan ketika waktu sukar.

 

Katanya, keuntungan kumpulan juga disumbangkan daripada pelbagai pendapatan didorong oleh kepelbagaian penawaran produk dan kehadiran di lebih 16 pasaran eksport.

 

Perniagaan mereka juga melengkapi kontrak pembuatan tempahan (31% jualan keseluruhan pada 2021) daripada syarikat multinasional yang membuat tempahan berulang.

 

"Pendapatan Cocoaland pada 4Q21 melonjak sebanyak 36% dari suku ke suku dan 24% dari tahun ke tahun selepas ketiadaan sekatan pergerakan dan seterusnya menyumbang kepada keuntungan sebanyak RM8.8 juta , tertinggi sejak pandemik bermula.

 

"Kami menjangkakan kumpulan ini akan terus mendapat manfaat daripada normalisasi pemintaan terutama dalam segmen eskport selaras dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pemulihan ekonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

cocoaland

 

Firma itu mengunjurkan, kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) untuk tiga tahun adalah 24% iaitu sebanyak RM42.1 juta pada 2024F. 

 

Mereka juga menjangkakan, margin keuntungan akan kekal mendatar sepanjang 2022F hingga 2024F pada kadar 29% dengan harga bahan mentah akan diseimbangkan semakan semula harga jualan purata (ASP) dan operasi yang bertambah baik. 

 

"Selepas mengambil kira keupayaan kumpulan untuk menjana aliran tunai positif dan kunci kira-kira yang stabil, kami menjangkakan Cocoaland mengekalkan bayaran dividen sebanyak 60%," katanya. - DagangNews.com