AmInvestment mulakan liputan ke atas Hap Seng Plantations dengan saranan 'pegang' FV RM2.20 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan ke atas Hap Seng Plantations dengan saranan 'pegang' FV RM2.20

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - AmInvestment Bank Bhd. memulakan liputan terhadap Hap Seng Plantations Holdings Bhd. dengan saranan 'pegang' pada nilai wajar (FV) RM2.20 sesaham. 

 

Penilaian FV itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 18x. Ia turut memberi penarafan 3 bintang bagi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

Berdasarkan unjuran pendapatan firma tersebut, Hap Seng Plantations ketika ini diniagakan pada FYE12/22 PE sebanyak 12.6x dan FYE12/23 PE sebanyak 16.1x. 

 

AmInvestment menganggarkan perbelanjaan modal (capex) kumpulan bagi FY21 dan FY22 sebanyak RM50 juta setiap tahun.

 

Katanya, perbelanjaan ini tertumpu terutamanya kepada penyelenggaraan infrastruktur dan penanaman semula sawit.

 

"Capex kumpulan tidaklah banyak seperti mana pemain industri lain kerana kebanyakan bank tanahnya sudah pun ditanam sepenuhnya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Hap Seng Plantations tidak membeli mana-mana bank tanah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebaliknya, ia menjual 623.8 hektar tanah di Tawau, Sabah kepada Hap Seng Consolidated Bhd. pada nilai RM84.9 juta.

 

Pada Jun 2020, kumpulan turut melupuskan 552 hektar tanah di Tawau kepada Hap Seng Consolidated pada nilai RM76 juta dengan anggaran RM137,583 per hektar. 

 

"Kami percaya Hap Seng Consolidated merancang untuk melancarkan beberapa projek hartanah di atas kedua-dua bidang tanah tersebut pada masa hadapan," tambahnya.

 

Sebagai syarikat perladangan tulen, kumpulan tidak mempunyai operasi penapisan minyak sawit atau biodiesel. 

 

"Ini menyaksikan kumpulan akan meraih manfaat jika harga minyak sawit mentah (MSM) naik tetapi berlaku sebaliknya jika harga MSM menurun. 

 

"Kami menganggarkan untung bersih Hap Seng Plantations akan menyusut kira-kira 3 hingga 5% bagi setiap penurunan RM100 satu tan metrik harga MSM," jelasnya. 

 

Menurut AmInvestment, memandangkan kesemua ladangnya terletak di Sabah dan tiada operasi di Indonesia, justeru, kumpulan tidak terjejas dengan pengurangan harga MSM di negara tersebut. 

 

Ia juga melihat hasil dividen Hap Seng Plantations dalam kedudukan yang baik dan mengunjurkan hasil dividen bagi FY21 dan FY22 masing-masing sebanyak 7.1% dan 5.1% berdasarkan harga saham RM1.98. Bayaran dividen pula dianggarkan pada 64.5% bagi FY21 dan 63.5% pada FY22. - DagangNews.com